
KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melakukan perubahan dalam struktur kepimpinan gabungan itu disifatkan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN.
Penganalisis politik, Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff menegaskan bahawa keputusan yang dibuat Pengerusi PN itu adalah jelas mengikut Perlembagaan PN.
Nurul Islam menyatakan beliau percaya, perkara berbangkit berkaitan perubahan berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.
“Saya tak tahu apa agenda dia. Tapi saya yakin dan percaya perkara-perkara berbangkit akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.
“Apapun saya nak ucapkan tahniah kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Dr Samsuri sebab berani buat keputusan dalam pengurusan Perikatan Nasional.
“Dengan keputusan ini, saya yakin perjalanan Perikatan Nasional akan lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi PN lewat malam semalam mengenai perubahan pada struktur organisasi gabungan itu.
Antara perubahan yang diumumkan ialah Datuk Dr Radzi Jidin diberhentikan sebagai Pengarah Pilihan Raya dan digantikan dengan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi pula diberhentikan daripada jawatan Bendahari dan digantikan oleh Timbalan Presiden MIPP, Subramaniam Surunaryan.
Selain itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut diberhentikan daripada jawatan Timbalan Setiausaha.
Dr Nurul Islam dalam penjelasan selanjutnya berkata, semua tindakan berkenaan dibuat berdasarkan Perkara 8.3 Perlembagaan PN yang memperuntukkan kuasa pelantikan pegawai tertentu kepada Pengerusi.
Menurutnya, Perkara 8.3(v) menetapkan Bendahari Agung hendaklah dilantik oleh Pengerusi untuk memegang jawatan itu selama yang dikehendaki oleh Pengerusi.
Menurut beliau lagi, Perkara 8.3(vi) pula memperuntukkan Timbalan Setiausaha Agung dilantik oleh Pengerusi untuk tempoh yang dikehendaki beliau, manakala Perkara 8.3(vii) menetapkan Ketua Pengarah Pilihan Raya juga dilantik oleh Pengerusi bagi tempoh yang sama.
“Perkara 8.3(v), (vi) dan (vii) adalah jelas bahawa kuasa melantik adalah kepada Pengerusi secara mutlak.
“Pelantikan ini berkuat kuasa sehingga Pengerusi sudah tidak lagi memerlukan lantikan tersebut. Maka Pengerusi berkuasa penuh untuk memberhentikan,” katanya.
Beliau menegaskan dalam kes berkenaan, Pengerusi PN yang melantik Radzi Jidin dan Azmin Ali ke jawatan masing-masing, justeru Pengerusi juga mempunyai kuasa untuk memberhentikan mereka. – HARAKAHDAILY 18/6/2026











