Di sebalik ‘Nota Persefahaman’ AS-Iran

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

NOTA Persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran baru sahaja dimeteraikan pada Ahad, 15 Jun 2026.

- Advertisement -

Ia hanya bertujuan menamatkan perang dan bagi memastikan laluan kapal di Selat Hormuz dibuka kembali.

Persefahaman ini belum lagi sampai ke tahap perjanjian damai sebagaimana Perjanjian Camp David antara Mesir dan Israel. Jalan-jalan ke arah perjanjian damai sepenuhnya masih lagi jauh dan berliku.

Donald Trump begitu terdesak untuk memeteraikan persefahaman ini bagi menyelamatkan dirinya daripada kancah peperangan yang diciptanya.

Ia dapat dilihat dalam kenyataannya yang mengulangi bahawa Iran telah kalah, perjanjian telah dicapai dan perang telah pun tamat sehingga diulang lebih dari 40 kali sejak konflik bermula.

Persefahaman yang berlaku berjaya menjaga air muka ‘kuasa besar dunia’ AS daripada kekalahan, maka dengan sendirinya Donald Trump boleh mengarahkan pengunduran tentera Amerika Syarikat dengan alasan perang telah pun tamat.

Manakala Iran pula masih lagi dengan strategi ‘melambat-lambatkan’ umpama pembuat karpet yang tidak gopoh dan gelojoh. Itulah falsafah pemikiran orang Parsi.

Bagi Iran, persefahaman ini adalah satu ‘test’ untuk menguji ‘kejujuran’ Amerika Syarikat. Dalam masa yang sama ia adalah satu langkah dalaman bagi membina kekuatan bagi berdepan dengan apa sahaja kemungkinan di hadapan khususnya kembali ke kancah peperangan.

Apa yang pasti, pihak yang paling rugi dalam persefahaman ini ialah negara haram Israel.

Umum mengetahui peperangan yang berlaku adalah ciptaan Zionis yang menguasai Amerika Syarikat bagi mencapai matlamat Israel Raya yang diisytiharkan oleh Netanyahu.

Netanyahu teruk dikecam oleh pimpinan Zionis kerana gagal mengheret Amerika Syarikat meneruskan peperangan dengan Iran.

Persoalannya, sejauhmana persefahaman ini akan berterusan di saat Israel terus menyerang Lubnan dan Gaza.

Senario yang paling dekat boleh berlaku ialah pertembungan antara Iran dan Israel secara langsung, manakala Amerika Syarikat hanya akan memberi sokongan dari belakang dan tidak akan terlibat secara langsung.

Apa yang pasti, perkembangan terkini yang berlaku berpihak kepada perjuangan pembebasan Palestin walaupun menerima tamparan yang hebat dari sudut korban nyawa dan harta benda.

Entiti haram Zionis Israel makin melemah serta Imperialisme Barat yang didominasi oleh Amerika Syarikat makin menguncup.

Apa yang penting, dunia Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan kekal membina penyatuan ummah serta kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran di hadapan.

“Kembali Kepada Penyelesaian Islam“

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -