Parkir MBKT masih dikutip secara manual

Syarikat pengendali baharu dalam proses dipilih

- Advertisement -

MARANG: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini sedang dalam proses mendapatkan pengendali baharu bagi menguruskan sistem parkir di kawasan pentadbirannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sepanjang tempoh peralihan tersebut, kutipan bayaran parkir masih dilaksanakan secara manual seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak MBKT menerusi saluran rasmi sebelum ini.

- Advertisement -

“Pihak MBKT masih dalam proses untuk mendapatkan pengendali baharu bagi menguruskan parkir di seluruh kawasan bandar raya Kuala Terengganu.

“Buat sementara waktu, kutipan parkir dilaksanakan secara manual seperti yang telah disiarkan dalam laman sesawang dan saluran rasmi MBKT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Rumah Contoh Taman Koperat Alor Limbat dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Koperat, di sini, hari ini.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, pihaknya berharap proses pemilihan syarikat baharu itu dapat disegerakan bagi membolehkan sistem parkir yang lebih cekap diperkenalkan kepada pengguna.

Menurutnya, pelantikan pengendali baharu itu turut melibatkan pembangunan aplikasi parkir yang dijangka memberi kemudahan lebih baik kepada orang ramai.

“Insya-Allah, aplikasi yang bakal diperkenalkan nanti akan memberikan kemudahan kepada rakyat serta mewujudkan integrasi sistem parkir antara pihak berkuasa tempatan di Terengganu,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan pengguna parkir di kawasan pentadbiran MBKT tidak lagi akan dikenakan saman parkir selepas jam 6 petang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, penguatkuasaan saman parkir kini hanya dijalankan sehingga jam 6 petang setiap hari.

Dalam masa sama, MBKT kini sedang dalam proses melantik kontraktor baharu bagi menguruskan sistem parkir yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat bulan. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -