Direhatkan RTM selepas sertai PAS: Ini penjelasan Azlan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pengulas sukan, Azlan Johar memberitahu khidmatnya sebagai pengulas siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi saingan Piala Dunia 2026 direhatkan selepas beliau menyertai PAS.

Azlan berkata, beliau sebelum ini menerima jemputan daripada pihak RTM untuk menjadi pengulas sepanjang kejohanan berprestij itu dan telah bersetuju menerima tawaran berkenaan yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau menerima jemputan dan jadual tugasan yang diterima menunjukkan beliau sepatutnya mengulas sembilan perlawanan sepanjang kejohanan tersebut bersama beberapa pengulas lain.

“Namun selepas selesai mengulas satu perlawanan membabitkan Brazil dan Belgium, saya diminta berehat dan tidak perlu lagi hadir untuk tugasan seterusnya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Makan Malam dan Solidariti anjuran PAS Wilayah Persekutuan, malam tadi.

Menurut Azlan yang juga bekas pemain bola sepak Selangor dan kebangsaan, selepas tamat siaran langsung perlawanan berkenaan di Studio 4 RTM, beliau dipanggil oleh penyelaras siaran untuk berjumpa di bilik rehat.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa tugasan dilaksanakannya pada malam itu berjalan dengan baik, namun menerima arahan bahawa beliau tidak perlu lagi hadir untuk menghabiskan baki perlawanan yang telah dijadualkan.

“Saya diberitahu bahawa selepas ini saya tidak perlu datang lagi kerana saya direhatkan daripada menghabiskan baki perlawanan yang sepatutnya saya ulaskan,” ceritanya.

Azlan berkata, apabila beliau bertanyakan sebab keputusan tersebut dibuat, beliau dimaklumkan bahawa tindakan itu mempunyai kaitan dengan penyertaannya sebagai ahli PAS.

“Saya bertanya mengapa saya direhatkan. Saya dimaklumkan bahawa saya direhatkan kerana telah menjadi ahli PAS dan arahan itu datang daripada pihak atasan,” ujarnya.

Walaupun mengakui berasa sedih dengan keputusan berkenaan, Azlan berkata beliau tetap bersyukur dan berterima kasih kepada RTM yang telah memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai pengulas sukan selama kira-kira dua dekad.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan baiknya, Zainal Abidin Hassan yang menurutnya banyak membuka ruang dan peluang dalam bidang pengulasan sukan, termasuk bagi siaran Liga Malaysia serta pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Saya sudah menjadi pengulas untuk beberapa edisi Piala Dunia dan saya memang sangat meminati bidang ini. Saya sedar saya mungkin tidak sehebat pengulas lain, tetapi saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Menurut Azlan, sepanjang kariernya beliau turut diberikan kepercayaan oleh beberapa penyiar utama negara termasuk RTM, TV3 dan Astro Arena untuk mengendalikan tugasan pengulasan sukan.

Katanya, bidang pengulasan bukan sekadar sumber pendapatan, sebaliknya merupakan minat yang sangat mendalam sehingga beliau sanggup melakukan kajian dan persediaan terperinci sebelum setiap tugasan.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam PAS, Azlan berkata keputusan tersebut dibuat atas kerelaan sendiri selepas mengenali Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sejak sekian lama.

Beliau berkata, faktor utama yang mendorong penyertaannya ialah keperibadian dan kesantunan ditunjukkan oleh Takiyuddin, selain hubungan baik terjalin antara mereka sejak dahulu.

“Saya mengenali (Setiausaha Agung PAS) Datuk Seri Takiyuddin (Hassan) sejak lama dan saya sangat menghormati beliau. Saya melihat watak dan keperibadiannya sebagai seorang pemimpin yang tidak dibuat-buat.

“Atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk menyertai PAS dan saya berharap anak cucu saya juga akan meneruskan perjuangan bersama parti ini,” katanya.

Dalam masa sama, Azlan menegaskan beliau tidak berniat untuk berdendam terhadap mana-mana pihak susulan apa yang berlaku dan akan terus bersikap profesional dalam menghadapi situasi tersebut.

“Saya tidak akan mengungkit atau berdendam. Saya mahu menjadi contoh yang baik sebagai ahli PAS dan sebagai bekas atlet negara. Saya tetap yakin bahawa rezeki ditentukan oleh Allah SWT dan saya menerima apa yang berlaku dengan hati yang terbuka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan nasib legenda-legenda sukan negara yang masih aktif dalam bidang profesional sekiranya mereka mempunyai kecenderungan politik yang berbeza daripada pihak tertentu.

Sehubungan itu, Azlan berharap penjelasan lanjut dapat diberikan berhubung keputusan yang diambil terhadapnya supaya tidak timbul pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Katanya, beliau tidak berniat membangkitkan perkara berkenaan bagi mencetuskan polemik atau kontroversi, sebaliknya mahu menjelaskan keadaan sebenar selepas menerima pelbagai pertanyaan daripada rakan-rakan serta orang ramai.

“Saya menerima keputusan ini secara profesional. Sebagai ahli PAS, saya mahu menunjukkan contoh yang baik kepada ahli parti dan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Takiyuddin mempersoalkan sama ada tindakan rehat ke atas Azlan daripada tugasnya sebagai pengulas sukan sempena kejohanan Piala Dunia 2026 ada kaitan dengan pengumuman penyertaannya dalam PAS. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -