
KUALA LUMPUR: PAS semakin diterima secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat di dalam negara meskipun pada suatu ketika dahulu parti Islam ini pernah dianggap asing, selain terpaksa berdepan dengan pelbagai tohmahan serta salah faham.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, perkembangan positif itu berlaku kerana masyarakat mendekati dan menyertai PAS menerusi pelbagai kaedah, yang digerakkan secara konsisten di atas tiga paksi utama parti iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah.
Beliau menjelaskan, sebarang bentuk persepsi negatif atau kebencian cuba dilemparkan pihak lawan tidak menghalang peningkatan sokongan rakyat, memandangkan individu yang memilih bersama PAS akhirnya terikat kepada kefahaman terhadap dasar perjuangan parti, bukannya faktor luaran.
“PAS didekati dan disertai oleh masyarakat melalui pelbagai jalan. PAS bergerak di atas tiga paksi utama iaitu dakwah, tarbiyah dan siasah. Jika ditanya kepada setiap ahli PAS bagaimana mereka mula menyertai perjuangan ini, pasti masing-masing mempunyai kisah dan pengalaman tersendiri.
“Ada yang menyertai PAS kerana lahir dalam keluarga pejuang PAS. Perjuangan yang diwarisi daripada ibu bapa akhirnya menjadi kesinambungan kepada anak-anak. Inilah yang sering disebut sebagai PAS warisan,” katanya dalam satu nukilan khas bersempena sambutan ambang Maal Hijrah, semalam.
Mutakhir ini terdapat pihak-pihak memanaskan media sosial dengan wacana yang memburukkan imej PAS, sekali gus mengadu domba dan menghasut kebencian terhadap parti Islam ini serta menegah sokongan atau penyertaan ke dalam PAS.
Sentimen ini dilihat semakin membara pasca pendirian Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mengumumkan pemberhentian kerjasama politik dengan BERSATU pada 8 Jun baru-baru ini.
Bagaimanapun, PAS menjawab kritikan tersebut dengan menunjukkan trend lonjakan pendaftaran ahli baharu, termasuk penyertaan golongan profesional dan figura terkenal, sebagai bukti sokongan rakyat kekal utuh.
Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai memperincikan kepelbagaian latar belakang dan punca utama mendorong masyarakat daripada pelbagai status sosial untuk mendekati serta menganggotai PAS.
Antara faktor penarik utama kata beliau, termasuklah peranan institusi pendidikan awal, keberkesanan aktiviti kesukarelawanan, kualiti kepimpinan yang istiqamah, serta kekecewaan pengundi terhadap kredibiliti parti lawan.
“Ada juga yang tertarik kepada PAS kerana rajin menghadiri kuliah agama di masjid dan surau. Walaupun penceramah tidak pernah mengajak secara langsung menyertai PAS, namun ilmu yang disampaikan selari dengan prinsip dan cita-cita perjuangan PAS.
“Sebahagian yang lain menyertai PAS kerana ajakan sahabat. Sememangnya sahabat yang baik mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran dan haluan perjuangan seseorang.
“Tidak kurang juga yang mendekati PAS kerana kecewa dengan parti lawan dan mencari wadah yang lebih diyakini untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Ada terpikat dengan akhlak dan peribadi ahli-ahli PAS serta pimpinan PAS yang istiqamah berkhidmat kepada masyarakat. Ada tertarik kerana melihat keprihatinan ahli PAS sentiasa membantu dan cakna terhadap kesusahan rakyat tanpa mengira latar belakang,” jelas beliau.
Beliau turut memuji peranan Jabatan AMAL Malaysia serta rangkaian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang menjadi ejen pengenalan terpenting kepada masyarakat awam dan ibu bapa.
“Ramai juga yang kagum dengan pengorbanan anggota Jabatan AMAL Malaysia yang bekerja secara sukarela, khususnya ketika banjir dan musibah, tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
“Sebahagian ibu bapa pula mengenali PAS melalui pendidikan. Mereka melihat sendiri bagaimana PASTI berjaya membentuk anak-anak yang berakhlak mulia, menghafaz doa, zikir dan asas agama sejak kecil,” katanya.
Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menambah, kekuatan PAS pada hari ini turut diperkukuhkan oleh penglibatan aktif golongan teknokrat serta sokongan moral berterusan daripada institusi pengajian tradisional Islam.
“Ada yang yakin dengan PAS apabila melihat ramai golongan profesional, akademik dan tenaga mahir bersama-sama memperkukuhkan perjuangan ini.
“Sebahagian yang lain tertarik apabila melihat pencapaian kerajaan negeri yang dipimpin PAS. Walaupun berhadapan pelbagai cabaran dan kekangan, mereka tetap berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Ramai juga yang mendapat kefahaman tentang PAS melalui pendidikan agama di pondok, sekolah agama dan universiti, apabila mendapati apa yang dipelajari selaras dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS.
“Selain itu, sokongan para tuan guru pondok dan pendakwah yang dihormati masyarakat turut membuka ruang kepada ramai untuk mengenali PAS dengan lebih dekat,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menegaskan sasaran akhir perjuangan PAS melangkaui agenda perebutan kuasa politik, sebaliknya bertumpu kepada agenda pembentukan sahsiah ummah yang berteraskan syariat Islam.
“Hakikatnya, walaupun PAS pernah dianggap asing di sesetengah tempat dan pernah berdepan pelbagai tuduhan serta salah faham, hari ini PAS semakin diterima oleh masyarakat pelbagai lapisan.
“Ini kerana manusia boleh datang kepada PAS melalui pelbagai pintu, tetapi mereka akan terus bersama PAS apabila memahami dasar perjuangannya.
“Perjuangan PAS bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, tetapi untuk membina manusia, mendidik masyarakat dan memartabatkan Islam dalam kehidupan.
“Selagi PAS istiqamah di atas landasan dakwah, tarbiyah dan siasah, insyaAllah perjuangan ini akan terus berkembang dan mendapat tempat di hati rakyat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 18/6/2026












