‘Sudah-sudahlah dengan politik kuno’

PAS Pahang pertikai isu sekat guna Padang Pejabat Daerah Rompin

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Pahang mempertikaikan proses kelulusan penggunaan kemudahan awam di Rompin bagi penganjuran program melibatkan institusi pendidikan awal kanak-kanak, yang dikatakan berdepan kelewatan serta kekeliruan keputusan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, permohonan penggunaan Padang Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah dikemukakan lebih awal kira-kira sebulan sebelum program berlangsung, namun sehingga saat akhir tiada keputusan muktamad diberikan kepada pihak penganjur.

- Advertisement -

Menurut beliau, pada peringkat awal pihak penganjur difahamkan tiada halangan terhadap permohonan tersebut, namun kemudiannya timbul keadaan yang menyebabkan kelulusan tidak diperoleh seperti dijangka.

“Perkara ini menimbulkan persoalan besar apabila permohonan penggunaan Padang Pejabat Daerah dan Tanah Rompin telah dikemukakan lebih awal, iaitu kira-kira sebulan sebelum program berlangsung. Namun sehingga saat akhir, tiada keputusan jelas diberikan kepada pihak penganjur.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pelbagai usaha susulan telah dibuat bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan. Pada awalnya, pihak penganjur diberikan gambaran bahawa tiada masalah untuk kelulusan diberikan. Namun kemudiannya timbul maklumat bahawa terdapat tekanan daripada pihak politik sehingga kelulusan tersebut gagal diperoleh.

“Lebih mengecewakan, apabila pihak penganjur cuba mendapatkan lokasi alternatif di bawah Majlis Daerah Rompin, mereka sekali lagi dimaklumkan bahawa permohonan tersebut juga berkemungkinan tidak akan diluluskan atas faktor yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, akhirnya program berkenaan terpaksa dipindahkan ke Padang Taman Sungai Puteri dengan bantuan masyarakat setempat bagi memastikan ia dapat diteruskan.

Dalam pada itu, Ahmad Azlan mempersoalkan sama ada terdapat campur tangan pihak tertentu dalam urusan kelulusan tersebut, selain menuntut penjelasan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Rompin serta Majlis Daerah Rompin.

“Persoalannya, apakah ancaman yang dibawa oleh sebuah institusi pendidikan awal kanak-kanak sehingga program melibatkan anak-anak PASTI juga perlu berhadapan dengan pelbagai halangan?

“Adakah YAB Menteri Besar Pahang mengetahui perkara ini?

“Adakah UMNO Pahang begitu gusar dengan perkembangan PASTI yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sehingga kemudahan awam yang dibiayai oleh wang rakyat turut dijadikan alat untuk menyekat aktiviti pendidikan dan kemasyarakatan?,” soalnya.

Kata beliau, PASTI bukanlah sebuah institusi politik dan ia merupakan institusi pendidikan yang telah puluhan tahun menyumbang kepada pembangunan modal insan, pembentukan akhlak serta pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

“Program-program yang dianjurkan bertujuan membangunkan generasi masa hadapan, bukannya medan untuk berpolitik.

“Jika benar dakwaan wujudnya tekanan politik ini, maka ia merupakan satu tindakan yang amat tidak matang serta mencerminkan budaya politik kuno yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan rasmi daripada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Rompin, Majlis Daerah Rompin serta Kerajaan Negeri Pahang berhubung dakwaan campur tangan politik dalam urusan kelulusan penggunaan kemudahan awam ini.

“Rakyat berhak mengetahui sama ada kemudahan awam di negeri ini diuruskan secara profesional, telus dan adil kepada semua pihak ataupun dipengaruhi oleh tekanan politik daripada pihak tertentu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa kemudahan awam adalah milik rakyat, bukannya milik mana-mana parti politik atau individu yang sedang berkuasa.

“Sekiranya benar tindakan menyekat program yang melibatkan anak-anak PASTI ini berlaku akibat tekanan politik, maka Kerajaan UMDAP Pahang perlu sedar bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai.

“Rakyat Pahang hari ini semakin matang.

“Mereka tidak mahu melihat kemudahan awam digunakan sebagai alat politik, apatah lagi apabila mangsanya adalah institusi pendidikan dan anak-anak kecil yang tidak berdosa.

“Jika inilah wajah sebenar pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang hari ini, maka jangan terkejut sekiranya rakyat membuat keputusan untuk menghumban Kerajaan UMDAP Pahang pada PRU-16 akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya yakin rakyat mampu menilai antara sebuah kerajaan yang menyatukan rakyat dengan sebuah kerajaan yang menggunakan kuasa untuk menyekat pihak yang berbeza pandangan politik.

“PAS dan Perikatan Nasional sentiasa bersedia untuk memikul amanah rakyat serta menjayakan agenda ‘PAS dan PN Teraju Pahang’ demi membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih adil, berintegriti, berkebajikan dan menghormati hak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

“Sudah-sudahlah dengan politik kuno. Jangan jadikan anak-anak PASTI mangsa ketakutan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -