
KIJAL: Kerajaan Terengganu melaburkan lebih RM500,000 bagi pembangunan tukun tiruan di perairan Kijal sebagai usaha memperkukuh sumber perikanan serta meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tukun tiruan itu dilabuhkan kira-kira lima batu nautika dari Pantai Penunjuk, Kijal menerusi Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (Rekreasi).
Menurut beliau, walaupun projek berkenaan tidak dapat dilihat secara fizikal oleh masyarakat, manfaatnya amat besar terhadap pemuliharaan ekosistem marin dan kelestarian industri perikanan.
“Objektif utama kita adalah untuk memastikan tukun ini menjadi lubuk atau ‘rumah’ baharu buat pembiakan ikan.
“Selain itu, tukun ini turut berfungsi sebagai zon penampan semula jadi bagi menghalang pencerobohan bot pukat tunda yang boleh menjejaskan sumber perikanan pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai melabuhkan tukun dalam Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil Penghalang Pukat Tunda (rekreasi), semalam.
Menurut beliau, kewujudan tukun tiruan berkenaan dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti nelayan menerusi peningkatan hasil tangkapan dan pemuliharaan biodiversiti laut.
Sehubungan itu, beliau menggesa nelayan setempat bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan kerajaan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan.
“Harapan saya kepada para nelayan, tolong jangan potong pelampung (penanda tukun) dan jangan jadikan tukun ini sebagai hak peribadi. Ini adalah tukun awam untuk dikongsi manfaatnya bersama-sama semua nelayan.
“Kepada ‘awok-awok’ (komuniti nelayan) Kemaman, tolong pantau sentiasa keadaan tukun ini. Kalau ada rezeki dapat ikan merah, tolong maklumkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026











