
KUALA TERENGGANU: Tokoh al-Quran terkenal, Tuan Guru Haji Jusoh @ Muda Ismail atau lebih dikenali sebagai Ayah Su Bukit Payong, 95, telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Terengganu
Beliau menerima piala, sijil penghargaan serta ‘mock cheque’ bernilai RM20,000 pada majlis berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan lebih tujuh dekad dalam pengajian al-Quran.
Ayah Su yang telah lebih 70 tahun mengabdikan diri dalam bidang pendidikan al-Quran menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghargaan besar dalam perjalanan hidupnya sebagai pendidik agama.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dipilih. Inilah anugerah tertinggi yang saya terima sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan Maal Hijrah di Wisma Darul Iman, di sini.
Ayah Su memulakan penglibatan sebagai guru al-Quran sejak usia 22 tahun dan masih aktif sehingga kini, termasuk mengajar di rumah serta membimbing pelajar dari pelbagai negeri melalui medium komunikasi jarak jauh.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau turut terlibat dalam pelbagai kegiatan ilmu termasuk pengajaran tajwid, bimbingan guru-guru agama serta pernah berkhidmat sebagai hakim Tilawah al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan selama lebih dua dekad.
Beliau berkata, istiqamah membaca al-Quran menjadi kunci utama kekuatan diri, selain menjadikannya sebagai panduan hidup dalam semua aspek.
“Baca al-Quran jangan ditinggalkan. Di dalamnya ada segala panduan hidup,” katanya.
Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu tahun ini meraikan beberapa tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang dakwah, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Sehubungan itu dalam majlis sama, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI telah dianugerahkan Tokoh Dakwah.

Dalam ucapannya, UAI merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri serta semua agensi yang disifatkan banyak memudahkan urusan rakyat termasuk dalam urusan pengajian agama dan aktiviti dakwah di negeri ini.
Beliau berkata, kerjasama dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai jabatan, khususnya di bawah pentadbiran negeri, telah membantu melancarkan urusan masyarakat dalam menguruskan kehidupan seharian termasuk menghadiri majlis ilmu.
“Terima kasih kepada semua pihak, kepada kerajaan negeri yang telah berkhidmat dengan baik kepada rakyat Terengganu.
“Banyak urusan dipermudahkan oleh jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri, termasuk jabatan agama dan lain-lain. Ini memudahkan kita untuk mengajar dan menghadiri kuliah,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran masyarakat ke majlis ilmu merupakan satu perkara yang amat penting dan wajar diberi penghargaan.
“Yang pentingnya adalah yang hadir untuk mendengar. Kalau tidak hadir, tiada makna kuliah itu. Mereka yang sanggup tinggalkan urusan seketika untuk datang ke majlis ilmu sebenarnya layak mendapat penghargaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengutamakan kesabaran dan tidak mudah terpengaruh dengan suasana semasa yang penuh dengan cabaran, khususnya di era media sosial.
“Kita hidup pada zaman fitnah, jangan cepat melatah. Banyakkan sabar dan jangan terlalu mengikut arus percakapan orang ramai. Kita perlu kembali kepada asas agama,” katanya.
Mengulas penggunaan media sosial, beliau mengingatkan bahawa Islam menuntut umatnya berkata perkara yang baik atau diam sekiranya tidak mampu berbuat demikian.
“Nabi mengajar, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik atau diam. Hari ini kita lihat media sosial digunakan untuk perkara yang tidak baik. Kita perlu berbeza sebagai orang beriman,” kongsinya.
Turut menerima pengiktirafan ialah Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kecik, 32, yang menyifatkan anugerah tersebut sebagai bukti jelas bahawa golongan OKU juga mampu berjaya dalam pelbagai bidang sekiranya diberi peluang serta sokongan yang sewajarnya.

Menurutnya, anugerah yang diterima itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi membawa mesej lebih besar kepada masyarakat bahawa setiap insan mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan.
“Saya anggap ini sebagai amanah daripada Allah SWT. Ia bukan untuk dibanggakan, tetapi sebagai motivasi untuk terus beramal dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sokongan keluarga, khususnya ibu serta guru-guru, banyak memainkan peranan dalam membentuk jati diri dan kekuatan beliau sehingga hari ini.
“Tanpa didikan ibu dan bimbingan guru, saya bukan siapa-siapa,” katanya.
Sementara, pengiktirafan terhadap Muhammad Firdaus Kong Abdullah, 32, sebagai Tokoh Saudara Kita dilihat sebagai bukti bahawa perjalanan hidayah dan perubahan hidup seseorang mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan saudara baharu di negeri ini.

Firdaus yang berasal dari Sarawak berkata, beliau tidak pernah menyangka dipilih menerima pengiktirafan tersebut dan menganggap dirinya hanya insan biasa yang melalui perjalanan hidup dengan izin Allah SWT.
“Saya tidak sangka dipilih. Saya orang biasa sahaja. Semua ini dengan izin Allah dan saya sangat bersyukur,” katanya.
Firdaus berkonsi kisah mengenai detik penghijrahannya memeluk Islam hanya dalam tempoh tiga hari ketika berada di Terengganu bagi urusan mencari pekerjaan, sebelum akhirnya menetap dan membina kehidupan baharu di negeri ini.
“Saya datang ke Terengganu untuk cari kerja dan tunggu temu duga. Dalam masa tiga hari itu, saya akhirnya memeluk Islam di Kuala Terengganu.
Firdaus berkata, minat terhadap Islam sebenarnya sudah wujud sejak zaman persekolahan ketika beliau menuntut di Johor Bahru, namun ketika itu belum terbuka hati untuk membuat keputusan besar dalam hidupnya.
“Di sekolah dulu ramai kawan ajak masuk Islam, tetapi belum ada hidayah. Cuma masa itu saya seorang pelajar Cina di asrama dan membesar dalam suasana berbeza..
“Selepas memeluk Islam, sata memilih untuk terus menetap dan membina kehidupan baharu di Terengganu, termasuk mengusahakan perniagaan kedai makan sejak hampir sembilan tahun lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/6/2026











