Iman, ilmu, sabar mampu ubah nasib masyarakat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Hijrah bukan sekadar peristiwa sejarah yang dikenang setiap tahun, sebaliknya membawa mesej perubahan yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Beliau berkata, peristiwa hijrah Rasulullah saw membuktikan bahawa perubahan yang berteraskan iman, ilmu dan kesabaran mampu mengubah nasib sesuatu masyarakat daripada keadaan lemah kepada lebih kuat dan dihormati.

“Secara istiqamahnya, sambutan Maal Hijrah pada tahun ini mengajak kita untuk menghayati makna hijrah sebagai sebuah proses perubahan yang membentuk tamadun, memperkukuhkan masyarakat dan membina masa depan yang lebih baik.

“Hijrah Rasulullah saw merupakan satu titik perubahan yang besar dalam sejarah manusia. Daripada sebuah masyarakat yang berpecah-belah, lahirlah sebuah ummah yang bersatu-padu.

“Pembentukan masyarakat Madinah melalui Piagam Madinah menjadi contoh terbaik bagaimana perpaduan, keadilan dan sikap saling menghormati dapat mewujudkan keharmonian dalam sebuah negara yang berbilang latar belakang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1448 Hijrah di Wisma Darul Iman yang dibuka tirai dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan oleh qari jemputan.

Kehadiran kira-kira 1,000 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan semangat kebersamaan dalam menyambut kedatangan tahun baharu Islam, selain menghidupkan kembali pengajaran besar daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW.

Majlis yang berlangsung dengan penuh tertib itu turut menjadi medan menghargai insan-insan yang menyumbang kepada pembangunan ummah yang mana pelbagai anugerah disampaikan kepada tokoh dan institusi yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Ia tertumpu kepada penyampaian anugerah kepada penerima Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Dakwah, Tokoh Saudara Kita dan Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU), yang masing-masing diiktiraf atas sumbangan serta komitmen dalam memperkasakan syiar Islam.

Turut diraikan penerima anugerah Keluarga Lengkap Mithali dan Keluarga Tunggal Mithali yang menjadi contoh kepada masyarakat dalam membina institusi keluarga berteraskan nilai-nilai Islam.

Selain itu, kecemerlangan institusi masjid dan surau turut diberikan pengiktirafan menerusi kategori Masjid Kerajaan Terbaik, Masjid Mukim Terbaik dan Surau Terbaik, di samping anugerah Tokoh Imam Cemerlang serta Tokoh Bilal Cemerlang.

Tidak ketinggalan, penghargaan turut diberikan kepada pemenang kategori Premis Makanan Halal Terbaik dan Video Pendek Terbaik yang menampilkan kreativiti serta usaha memperluaskan kefahaman Islam dalam masyarakat.

Sehubungan itu, senyuman para penerima anugerah yang diiringi tepukan hadirin menggambarkan penghargaan terhadap usaha berterusan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan agama dan komuniti. – HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -