Laluan terus Kota Bharu-Jakarta buka peluang baharu

Langkah strategik penerbangan mampu perkukuh sektor pelancongan Kelantan

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Pembukaan laluan penerbangan terus Kota Bharu-Jakarta dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh sektor pelancongan negeri serta meningkatkan hubungan serantau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pembukaan laluan tersebut merupakan satu langkah besar dalam usaha Kerajaan Negeri mempromosikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

- Advertisement -

Katanya, perkembangan itu memberi petanda positif terhadap pertumbuhan sektor pelancongan negeri dan berpotensi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong pada masa akan datang.

“Bagi Kerajaan Negeri Kelantan, ini merupakan satu langkah besar dalam usaha mempromosikan negeri ini dalam bidang pelancongan.

“Saya sangat positif bahawa dengan penggunaan yang baik ini akan memberi kesan kepada perkembangan dan peningkatan para pengunjung ke Kelantan pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya kepada media di sini selepas menyambut ketibaan pertama penerbangan terus dari Jakarta ke Kota Bharu, pada Selasa.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan melihat terlebih dahulu prestasi laluan Kota Bharu-Jakarta sebelum mempertimbangkan pembukaan laluan terus ke beberapa destinasi lain di rantau ASEAN.

Menurut beliau, antara destinasi yang berpotensi diteroka selepas ini ialah Bangkok, Ho Chi Minh City dan Guangzhou.

“Memang menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kota Bharu sebagai hab penerbangan terus ke beberapa destinasi lain di sekitar ASEAN,” katanya.

“Kita akan lakukan promosi seperti yang dibuat untuk Jakarta kerana usaha promosi itu membantu meningkatkan sambutan pelancong,” katanya lagi.

Sehubungan itu pada sebelah pagi Selasa, penerbangan sulung AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa ke Jakarta tepat jam 10 pagi dengan membawa seramai 185 penumpang.

Pembukaan laluan terus Kota Bharu–Jakarta dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan, perdagangan dan ekonomi kedua-dua destinasi selain memperkukuh pertukaran budaya serta membuka peluang perniagaan yang lebih luas.

Laluan baharu itu juga dilihat mampu meningkatkan kehadiran pelancong antarabangsa ke Kelantan selaras dengan usaha menarik lebih ramai pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. –HARAKAHDAILY 18/6/2026

- Advertisement -