Penternak disifatkan antara tulang belakang negeri

Jamin ketersediaan makanan halal dan selamat

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismai
- Advertisement -

MACHANG: Golongan penternak disifatkan sebagai tulang belakang penting dalam memastikan bekalan makanan halal dan selamat kepada masyarakat di negeri Kelantan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, peranan penternak amat besar khususnya dalam menjamin sumber makanan yang berkualiti serta mematuhi tuntutan syarak.

Katanya, aspek pengurusan penyakit ternakan juga perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan dan kesejahteraan rakyat.

“Begitu juga para penternak yang menjadi tulang belakang dalam memastikan bekalan makanan yang halal dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kursus Asas Pengenalan Penyembelihan Halal dan Pengurusan Penyakit Ternakan kepada Imam Masjid Seluruh Negeri Kelantan dan Penternak Tahun 2026 di sini.

Menurutnya, program berkenaan menghimpunkan imam-imam masjid seluruh negeri serta para penternak bagi memperkukuhkan kefahaman berkaitan penyembelihan halal dan aspek pengurusan penyakit ternakan.

Beliau menyatakan bahawa, program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan itu amat penting dalam memastikan aspek keselamatan makanan, kebajikan ternakan serta pengurusan penyembelihan halal terus diperkasa selaras dengan tuntutan syarak dan kesejahteraan masyarakat.

“Melalui kursus seperti ini, para peserta dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kesedaran berkaitan pengurusan ternakan dan penyembelihan halal untuk diaplikasikan dalam komuniti masing-masing demi menjamin bekalan makanan yang halal, bersih dan selamat,” katanya.

Beliau turut menegaskan peranan imam sebagai pemimpin masyarakat penting dalam menyampaikan ilmu serta memberi kefahaman kepada masyarakat setempat.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan itu, berlangsung selama sehari dan dihadiri seramai lebih 100 orang Imam, penternak 80 orang dan staf DVS 100 orang. – HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -