Tanpa Jaafar PAS tak terjejas di Muadzam Shah

- Advertisement -

KUANTAN: Keputusan bekas calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah, Jaafar Mustafa kembali menyertai Umno tidak menjejaskan kekuatan PAS dan PN di kawasan itu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, tindakan berkenaan dilihat sebagai proses penyusunan semula dan pengukuhan saf perjuangan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Baru-baru ini saya menerima perkhabaran yang mantan Calon PN daripada BERSATU yang bertanding di kerusi DUN Muadzam Shah bersama beberapa pengikutnya telah mengisytiharkan kembali kepada Umno.

“Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada beliau dan penyokongnya kerana telah menzahirkan lebih awal hasrat mereka untuk kembali kepada Umno sebelum PRU 16.

“Bagi saya PAS dan Perikatan Nasional menghormati keputusan politik yang dibuat oleh mana-mana individu.

“Namun, perjuangan untuk membawa perubahan kepada rakyat Muadzam Shah tidak bergantung kepada seorang tokoh semata-mata, tetapi didokong oleh kekuatan jentera, kesetiaan ahli serta keyakinan rakyat terhadap agenda yang dibawa. Inilah kekuatan PAS yang setelah sekian lama ditonjolkan kepada rakyat sama ada menang atau kalah.

“Ini dibuktikan hari ini yang jentera PN khususnnya daripada PN di Muadzam Shah sentiasa berkhidmat untuk rakyat di dun Muadzam Shah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Azlan berkata, perkembangan itu turut membuka ruang kepada PAS dan PN untuk memperkemaskan gerak kerja, menyusun semula jentera serta memperkukuhkan barisan kepimpinan yang benar-benar komited terhadap perjuangan parti.

Menurutnya, pemergian beberapa individu tidak akan menjejaskan agenda besar Teraju Pahang yang sedang digerakkan secara konsisten di seluruh negeri.

“Malah, ia menjadi pemangkin untuk memperhebatkan lagi gerak kerja, memperluaskan jaringan sokongan rakyat dan memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Sebagai anak jati yang membesar di Muadzam Shah, saya melihat DUN Muadzam Shah merupakan antara sasaran strategik dalam agenda Teraju Pahang.

“Potensi besar yang ditunjukkan melalui peningkatan sokongan rakyat sebelum ini membuktikan bahawa kerusi ini berada dalam jangkauan untuk dimenangi sekiranya seluruh kekuatan parti dapat digembleng secara tersusun dan berfokus,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa fokus PAS dan PN ketika ini adalah mendekati rakyat, memahami keperluan masyarakat setempat serta menawarkan penyelesaian terhadap isu berkaitan kebajikan, peluang ekonomi, pembangunan dan tadbir urus.

“Saya yakin bahawa kekuatan sesebuah gerakan politik bukan diukur melalui kehadiran atau pemergian individu tertentu, tetapi pada keikhlasan perjuangan, kesatuan saf serta kesungguhan jentera dalam mengangkat aspirasi rakyat.

“Mereka yang kekal bersama adalah mereka yang benar-benar memahami erti istiqamah dalam perjuangan. Inilah yang sentiasa diperingatkan oleh kepimpinan PAS.

“Justeru, seluruh jentera dan penyokong diseru agar terus merapatkan saf, mempertingkatkan usaha serta menjadikan perkembangan ini sebagai pembakar semangat untuk bekerja dengan lebih gigih.

“Insya-Allah, misi Teraju Pahang akan terus dipergiatkan, dan DUN Muadzam Shah akan kekal sebagai antara medan penting yang akan diusahakan bersungguh-sungguh untuk dimenangi demi membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Pahang,” katanya.

Terdahulu, Jaafar bersama lebih bersama seramai 65 ahli BERSATU Bahagian Rompin membuat keputusan telah kembali kepada Umno.

Langkah itu menyusul selepas PAS pada 8 Jun lalu mengumumkan kerjasama politiknya dengan BERSATU ditamatkan berkuat kuasa serta-merta. – HARAKAHDAILY 15/6/2026

- Advertisement -