
KUALA TERENGGANU: Keikhlasan dan kepercayaan antara rakan politik merupakan asas penting dalam memastikan sesebuah kerjasama dapat dipertahankan.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi berkata, PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, namun hubungan itu perlu dibina atas dasar saling menghormati dan tidak mengkhianati kepercayaan yang diberikan.
“Kalau hendak berkawan, kena ikhlas. Jika kawan tikam kita dari belakang, sekali mungkin kita boleh beri nasihat lagi.
“Namun, perkara itu bukan kali pertama berlaku,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, PAS mempunyai pengalaman panjang dalam membentuk kerjasama politik menerusi konsep tahaluf siyasi dan ta’awun siyasi.
Katanya, parti itu pernah mengamalkan tahaluf siyasi menerusi Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, namun kemudiannya memilih pendekatan ta’awun siyasi yang lebih fleksibel serta tidak terlalu mengikat.
Beliau berkata, setiap kerjasama politik yang dijalinkan PAS akan dinilai berdasarkan sejauh mana ia membantu usaha memperkukuhkan perjuangan Islam dan kepentingan rakyat.
“Apabila kita melihat ada perkara yang tidak sesuai atau tidak menepati hasrat PAS sebagai sebuah gerakan Islam, maka parti berhak membuat penilaian semula terhadap kerjasama tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli PAS supaya tidak terlalu cenderung mempertahankan rakan politik sehingga meletakkan kepentingan parti lain melebihi PAS.
Menurutnya, pengalaman lalu menunjukkan terdapat segelintir pihak yang terlalu terikat dengan rakan kerjasama sehingga mengabaikan perjuangan parti sendiri.
“Janganlah sampai ada orang yang apabila PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR, dia menjadi lebih PKR daripada PKR. Apabila PAS bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional, dia menjadi lebih Umno daripada Umno.
“Apabila hubungan itu berakhir, dia pula yang terlalu cenderung kepada Umno.
“Begitu juga jika suatu hari nanti hubungan dengan Bersatu berakhir, jangan sampai ada ahli PAS yang menjadi lebih BERSATU daripada BERSATU sendiri. Perkara seperti itu memang biasa berlaku dalam politik,” katanya.
Pada 8 Jun lepas, Harakahdaily melaporkan melaporkan PAS secara rasmi memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta, demikian umum Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ketetapan drastik itu dicapai setelah membincangkan kedudukan serta hala tuju parti dalam mendepani landskap politik semasa tanah air pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS.
Tuan Guru memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pertimbangan dasar, hukum dan maslahah, selain meneliti laporan serta kajian menyeluruh berhubung perkembangan mutakhir membabitkan parti sekutunya itu. – HARAKAHDAILY 15/6/2026











