‘Kembali ke pangkal jalan’: Nasihat PAS atau gesaan DAP?

Pilihan Umno akan tentukan masa depan politiknya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umno kini disifatkan berada pada tahap ‘point of no return’ atau fasa tiada jalan untuk berpatah balik dalam menentukan hala tuju politiknya, sama ada mahu terus bersama pakatan sedia ada atau melakukan perubahan drastik.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, situasi semasa yang melanda parti itu menyaksikan ruang untuk kembali ke belakang semakin tertutup, sekali gus meletakkan masa depan parti tersebut sepenuhnya di tangan kepimpinan mereka sendiri.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menggesa Umno agar ‘kembali ke pangkal jalan’ dengan memberikan sokongan penuh kepada Menteri Besar Negeri Sembilan serta tidak bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Sama ada diarahkan ‘emergency landing’ atau selamat mendarat ke destinasi, terpulang kepada Umno. Sekalipun kembali ke pangkuan DAP-Pakatan Harapan, curiga dan sangsi semakin menebal. Namun demi jawatan dan kuasa, tiada apa yang mustahil,” katanya.

Kemelut berawal dari ketegangan politik di Negeri Sembilan apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno menyatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri diketuai PH.

Tindakan tersebut mencetuskan reaksi sengketa dalam Kerajaan Perpaduan, apabila DAP, PAN dan PKR menyifatkan tindakan Umno itu sebagai ‘gunting dalam lipatan’, ‘pengkhianatan’, ‘pintu belakang’, ‘tebuk atap’ serta mahukan jawatan dan mengambil alih kerajaan.

Isu ini juga berkait rapat dengan desas-desus dicanang kuat ketika ini berkaitan hala tuju Umno menjelang PRU16, sama ada akan kekal dalam kerjasama sedia ada atau bergerak secara sendirian yakni solo kononnya bagi memulihkan sokongan pengundi Melayu.

Syahir sehubungan itu turut menarik perhatian Umno kepada seruan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sekali lagi meminta parti Melayu untuk melakukan muhasabah demi kepentingan agama dan bangsa.

Ahli Parlimen Marang itu dalam tulisan terkini Minda Presiden PAS menyifatkan Umno kini berada di ‘usia senja’ yang memerlukan kebijaksanaan dalam memilih rakan kerjasama bagi mengelakkan parti itu tersungkur daripada landskap politik tanah air.

“Terbaharu, Tuan Guru mengulangi seruan supaya Umno melakukan muhasabah dan ‘kembali ke pangkal jalan’. Di usia senja, jika berjalan sendirian, khuatir tersungkur. Jika muafakat, syukur. Pastinya Umno lebih tahu apa yang terbaik untuk Umno dan Melayu,” jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai nasihat yang diberikan oleh kepimpinan DAP kepada Umno, Syahir selaku juga Penolong Setiausaha Agung PAS menyerahkan sepenuhnya kepada parti tersebut untuk menilai kewajaran saranan berkenaan.

“Terbaca kenyataan YB Lim Guan Eng yang menggesa Umno ‘kembali ke pangkal jalan’. Yakni, (agar) Umno kembali menyokong MB N9, (serta) Umno tidak bertanding solo PRU16, dan Umno tidak menjadi ‘gunting dalam lipatan’.

“(Sekarang) Terserah kepada Umno untuk mendengar nasihat (Pengerusi) DAP (atau Presiden PAS),” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -
- Advertisement -