
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menasihatkan para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri susulan insiden membabitkan seorang pelajar yang maut dalam kejadian tikaman baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya amat bersimpati terhadap mangsa serta keluarga yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kita sangat bersimpati dengan keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco dwi-mingguan Bangunan Mabna-MBI, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Menurutnya, nasihat itu bukan sahaja terpakai kepada pelajar di institusi berkenaan, malah kepada semua pelajar di pusat pengajian tinggi.
“Kita nasihatkan anak-anak kita supaya sentiasa mematuhi arahan pihak universiti atau institusi masing-masing dan memastikan keselamatan diri sentiasa terjamin,” ujarnya.
Tambah beliau, pelajar juga diingatkan agar mengelakkan situasi berisiko termasuk keluar tanpa keperluan, khususnya dalam keadaan yang boleh menimbulkan perkara tidak diingini.
Dalam masa sama, beliau menyeru pihak berkuasa khususnya polis untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mengambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, seorang penuntut kolej wanita berusia 19 tahun ditemui maut di Ketereh, meninggal dunia akibat kecederaan serius tikaman.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam kenyataan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II mendapati mangsa, Nurfisya Zulkifly, 19, mengalami pelbagai kesan tikaman dengan jumlah 61 tikaman di beberapa bahagian badan termasuk dada.
“Kejadian itu dipercayai berlaku di lokasi lain sebelum mayat mangsa ditemui di lokasi penemuan di atas jalan berhampiran kawasan sawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2026




















