Masalah air PPR Gua Musang bukan sebab AKSB

- Advertisement -

PASIR MAS: Gangguan bekalan air di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang baru-baru ini bukan berpunca daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), sebaliknya disebabkan kerosakan sistem pam di premis terbabit.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, AKSB telah menyalurkan bekalan air sehingga ke meter utama premis berkenaan.

Namun katanya, kerosakan berlaku pada mesin penyedut air untuk menyalurkan bekalan ke tangki tingkat atas bangunan.

“Berlaku air tak sampai di PPR, semua orang bising kata AKSB. Sebenarnya masalah berlaku di PPR itu sendiri.

“Mesin penyedut air naik ke atas rosak dan kerosakan itu tidak dilaporkan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke tapak Loji Rawatan Air Kelar 2, di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke bahagian atas bangunan walaupun bekalan air mencukupi di tangki utama.

“AKSB hanya bertanggungjawab membekalkan air sehingga meter utama sahaja. Selepas meter itu, semua di bawah tanggungjawab premis terbabit,” katanya.

“Air di Gua Musang sebenarnya mencukupi dan tidak timbul isu bekalan tidak ada,” katanya.’

Tambah beliua, tindakan menularkan video dan tuduhan terhadap AKSB tanpa mengetahui keadaan sebenar dianggap tidak wajar.

“Saya kasihan kepada kakitangan AKSB yang bekerja siang malam tetapi akhirnya dipersalahkan dalam perkara yang bukan berpunca daripada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026

- Advertisement -