
PASIR MAS: Masalah bekalan air di seluruh jajahan Pasir Mas termasuk Rantau Panjang dijangka dapat diatasi sepenuhnya apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 siap dan mula beroperasi pada Mac 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, loji berkenaan kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 39.5 peratus dan dijangka siap lebih awal pada Januari 2027.
Katanya, LRA Kelar 1 ketika ini menghasilkan 75 juta liter air sehari namun Pasir Mas masih kekurangan sekitar 15 juta liter sehari bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Masalah utama sekarang berlaku di kawasan ICQS Rantau Panjang, penjara satelit dan Lubuk Jong khususnya DUN Apam Putra yang memerlukan sekitar tiga juta liter sehari untuk mengatasi gangguan air,” katanya.
“Apabila LRA Kelar 2 siap dengan kapasiti 25 juta liter sehari, ia bukan sahaja mampu menampung keperluan seluruh Pasir Mas malah masih mempunyai lebihan sekitar 10 juta liter,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerja ke tapak projek LRA Kelar 2 di sini hari ini.
Turut hadir dalam lawatan kerja berkenaan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail.
Sehubungan itu menurut Izani, lebihan kapasiti itu akan disalurkan ke kawasan berdepan tekanan bekalan rendah termasuk Apam Putra dan kawasan Zon Bebas serta penjara satelit.
“Air yang diproses di Kelar 2 akan disalurkan ke Kelar 1 sebelum diagihkan ke seluruh Pasir Mas dan Rantau Panjang.
“Kita sasarkan pengguna mula menerima bekalan air daripada loji ini selewat-lewatnya Mac 2027 selepas proses ujian kualiti dan kuantiti selesai,” jelasnya.
Izani menjelaskan bahawa seramai lebih 36,300 akaun pengguna di Pasir Mas akan mendapat manfaat termasuk kawasan hujung paip yang sebelum ini sering berdepan masalah tekanan rendah.
Mengulas lanjut, ujar beliau, projek itu turut membawa berita baik apabila sumber air mentah bawah tanah di kawasan tersebut mempunyai kualiti baik dan mudah dirawat.
“Paras manganese agak tinggi sedikit tetapi masih dalam keadaan boleh dirawat dan jauh lebih baik berbanding beberapa kawasan lain yang sangat bermasalah,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











