
IPOH: Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mendesak pihak Zoo Taiping dan Night Safari serta pihak berkuasa berkaitan, agar segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat dari Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Nur Farhana Omar berkata demikian susulan tiga ekor gajah tersebut dilaporkan akan ditempatkan di Jepun itu selama 25 tahun mengikut perjanjian kerjasama antara Zoo Taiping dan Night Safari dan Zoo Tennoji yang dimeterai pada 2022.
Menurut beliau, pihaknya turut menggesa supaya perjanjian yang dibuat berkaitan pemindahan haiwan itu dinilai semula tanpa kompromi terhadap aspek kebajikan haiwan.
“Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menegaskan bahawa gajah-gajah ini bukanlah bahan pameran, tetapi amanah Allah dan khazanah negara yang wajib dipelihara.
“Membawa pulang mereka itulah yang paling berperikemanusiaan dan bermaruah,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, menurutnya, Dewan Muslimat PAS Negeri Perak membantah keras pemindahan tiga gajah berkenaan ke Jepun yang disifatkan mencetuskan kebimbangan rakyat.
Beliau menyatakan, walaupun pemindahan itu dilakukan atas nama kerjasama strategik, kebajikan haiwan tidak boleh dikorbankan demi kepentingan lain.
“Gajah Asia ialah spesies terancam yang sesuai untuk hidup dalam habitat tropika, bukannya di negara beriklim empat musim.
“Persekitaran zoo berasaskan konkrit, ruang terhad dan ketiadaan hutan semula jadi berisiko menyebabkan tekanan serius termasuk zoochosis,” tegasnya lagi.
Nur Farhana berkata, Malaysia tidak kekurangan habitat, kepakaran mahupun pusat konservasi untuk menjaga gajah.
“Maka, tindakan menghantar khazanah negara ke persekitaran asing yang tidak sesuai adalah keputusan yang wajar dipersoalkan dan dinilai semula,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan memaklumkan, ketiga-tiga ekor gajah tersebut berada dalam keadaan sihat.
“Berdasarkan maklumat semasa daripada pihak pengurusan Zoo Tennoji, ketiga-tiga ekor gajah tersebut berada dalam keadaan baik dan dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar serta penjaga haiwan (mahut) yang berpengalaman,” katanya.
MPT juga dilaporkan akan mengeluarkan laporan mingguan mengenai keadaan gajah-gajah tersebut dan meneliti memorandum yang diterima berkaitan isu itu.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dilaporkan berkata, cadangan untuk membawa pulang tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat perlu dipertimbang secara serius.
Beliau menegaskan ia wajar dilakukan jika perjanjian pemindahan tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa.
Kementerian juga katanya, bersedia meneliti keperluan dana serta menggesa rundingan antara Zoo Taiping dan Zoo Tennoji bagi tujuan membawa pulang gajah tersebut ke Malaysia. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











