
TEHRAN: Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran (MPO) menawarkan perkhidmatan bekalan bahan api, bantuan perubatan dan barang pembaikan terhad kepada semua kapal komersial di Selat Hormuz, menegaskan ia adalah demi tanggungjawab keselamatan maritimnya.
PMO dalam kenyataannya pada Khamis berkata demikian sambil bertindak mengeluarkan notis rasmi kepada nakhoda-nakhoda kapal; mengisytiharkan kesediaan Iran untuk menyediakan perkhidmatan marin awam, sokongan teknikal dan bantuan kesihatan dan perubatan kepada trafik komersial di laluan air dan perairan bersebelahan dengannya.
Pengumuman itu, lapor MNA, yang disiarkan melalui radio marin VHF tiga kali sehari selama tiga hari berturut-turut, menjemput komander dan pemilik kapal untuk mendapatkan bekalan, bahan api, perkhidmatan perubatan atau barang pembaikan yang dibenarkan.
“Kapal boleh menghubungi perkhidmatan trafik kapal pelabuhan Iran terdekat di Saluran 16 atau berhubung melalui ejen tempatan,” ujar kenyataan itu.
PMO berkata. langkah itu berada di bawah tanggungjawab berdaulat Iran untuk keselamatan navigasi dan perkhidmatan pelabuhan di salah satu koridor transit paling strategik di dunia.
Terdahulu pada Selasa, Iran telah melancarkan sistem baharu untuk mengawal lalu lintas kapal melalui Selat Hormuz.
Di bawah peraturan baharu itu, semua kapal yang merancang untuk melalui laluan air yang sempit itu perlu menerima kebenaran melalui e-mel daripada pihak berkuasa Iran yang dikenali sebagai ‘sistem tadbir urus berdaulat’. – HARAKAHDAILY 7/5/2026











