Bantuan banjir perlu disalur segera kepada mangsa

Dr Najihatussalehah Ahmad
- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak diminta memperincikan strategi bagi mengukuhkan jaringan keselamatan sosial yang lebih bersasar, khususnya dalam mendepani cabaran bencana.

Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) berkata, penambahbaikan sistem tindakan cepat adalah kritikal bagi memastikan mangsa yang sedang atau telah ditimpa bencana menerima bantuan dengan kadar segera.

- Advertisement -

​ “Bagaimana kerajaan Perak hendak memastikan penambahbaikan sistem tindakan cepat kepada mereka yang sedang ataupun yang telah ditimpa bencana?

​”Bantuan itu perlu diberikan secara lebih pantas daripada apa yang ada sekarang,” katanya semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi soalan lisan di Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.

Dalam jawapannya, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, beliau telah turun padang melawat mangsa banjir di daerah Hilir Perak dan Perak Tengah, termasuk bersama ADUN Bota di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

​Menurutnya, perbincangan bersama pegawai daerah telah diadakan bagi meneliti situasi semasa bencana.

Sementara dalam soalan asalnya, Dr. Najihatussalehah turut meminta penjelasan mengenai perancangan kerajaan negeri dalam menambah baik skim bantuan khas bagi kategori isi rumah B40, dengan mengambil kira perbezaan keperluan antara penduduk luar bandar dan bandar.

​”Adakah kerajaan bercadang menambahkan skim bantuan khas kategori isi rumah B40 luar bandar atau bandar kerana kedua-dua kelompok mempunyai keperluan yang sedikit berbeza?

​”Selain itu, bagaimana kerajaan hendak memastikan agihan dapat berlaku secara adil dan tidak bertindih antara agensi?” soal beliau.

​Sementara itu, Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) turut bangkit menyuarakan kebimbangan mengenai mangsa banjir kilat yang tercicir daripada menerima bantuan.

Beliau berkata, mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa, bantuan kewangan selalunya hanya disalurkan kepada mangsa yang berpindah ke PPS, sedangkan mangsa banjir kilat yang tidak berpindah turut menanggung kerosakan yang sama.

​”Kita dapati kadang-kadang banjir kilat ini sekejap sahaja, namun kemusnahannya sama dengan banjir biasa. Tetapi mereka tidak dapat bantuan kewangan sebab tidak pindah.

​”Ada juga keadaan di mana PPS terlalu jauh dari kediaman, menyebabkan mangsa enggan berpindah walaupun rumah dinaiki air. Jadi, kalau boleh kita fikirkan sesuatu untuk beri bantuan kepada golongan seperti ini,” hujahnya.

​Mengulas perkara itu, Saarani mengakui wujud kekangan dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS, terutamanya dari segi logistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Walaupun terdapat rayuan supaya bantuan diberikan sama rata, kerajaan berdepan cabaran untuk menghantar bantuan makanan jika mangsa menumpang di rumah saudara atau kekal di rumah masing-masing berbanding berada di PPS yang diwartakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2025

- Advertisement -