‘Bertunas di Johor, berputik di N9, berbuah di Putrajaya’

Penyatuan ummah

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerjasama antara PAS dan Umno disifatkan sudah mula bertunas di Johor, berputik di Negeri Sembilan dan diharapkan berbuah di Putrajaya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu titik sejarah, selain melihat reaksi masyarakat terhadap kerjasama berkenaan menunjukkan isyarat positif.

“Dan hari ini merupakan hari yang titik sejarah kepada kita ialah sebagaimana semua kita sedia maklum kerjasama kita dengan Umno sudah pun kita anggap mula bertunas di Johor.

“(Kemudian) berputiknya di Negeri Sembilan insya-Allah berbuahnya di Putrajaya nanti insya-Allah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Perak kepada HarakahDaily di Wisma Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.

Idris mengiringi perarakan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek ke pusat penamaan calon tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian terhadap media sosial, hampir 95 peratus komen yang diterima menunjukkan persetujuan terhadap tindakan dilakukan oleh parti terbesar Melayu-Islam Bumiputera di Malaysia itu.

“Maka (perkembangan di dalam media sosial) ini satu signal yang cukup baik,” kata Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Idris turut memaklumkan sambutan masyarakat terhadap program berkaitan PRN Negeri Sembilan dilihat begitu hebat, termasuk ketika pelancaran dan penamaan calon yang berlangsung sebelum ini.

Beliau menambah, program pelancaran jentera Pemuda PN juga menerima sambutan baik dengan kehadiran yang agak memberangsangkan, malah majoriti yang hadir terdiri daripada golongan muda.

“Yang seronoknya, yang hadir itu hampir 70 peratusnya ialah daripada kalangan orang-orang muda,” ujarnya mengungkapkan kegembiraan.

Mengulas peranan media sosial dalam pilihan raya kali ini, Idris menjelaskan, platform berkenaan menjadi antara medium yang memainkan peranan sebagai propaganda oleh semua pihak.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sokongan yang dilihat terhadap PN berlaku secara semula jadi tanpa sebarang upahan.

“Tapi alhamdulillah di pihak PN, ia terjadi dengan secara alami ataupun dia jadi dengan secara begitu natural saja yang tidak diupah.

“Tapi atas kesedaran masyarakat untuk nak melihat betapa perlunya satu kuasa politik Pakatan Harapan ini dapat kita kalahkan,” serunya.

Beliau menyatakan, selepas Pakatan Harapan dikalahkan di Sabah dan Johor, gelombang sama diyakini akan berlaku di Negeri Sembilan.

“Kebangkitan rakyat ini dia tak boleh sekat sebagaimana tsunami dan juga macam kepala air. Bila datangnya begitu tidak boleh siapa pun untuk nak sekat melainkan Allah SWT saja,” ulasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi terutama golongan muda supaya tidak mensia-siakan hak mengundi pada pilihan raya kali ini.

“Sia-sia ini maksudnya tak balik mengundi. Sia-sia maksudnya undi tuan-tuan ini beri kepada Pakatan Harapan.

“Saya hendak supaya anak muda pada kali ini akan kita adalah merupakan pencipta sejarah, pencipta sejarah yang wujud dengan pilihan raya negeri pada kali ini,” seru beliau.

Beliau turut menyeru golongan muda yang aktif menghasilkan kandungan di media sosial seperti TikTok dan Facebook supaya membantu calon PN serta calon BN.

“Maka harapkan supaya yang boleh main, yang hebat dalam media sosial sebagainya, yang boleh buat content TikTok dan Facebook meriahkan dalam media sosial ini untuk membantu calon PN.

“Dan juga memastikan juga calon-calon daripada Barisan Nasional juga. Asalkan kita tidak memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -