Peluang Dr Kumar rampas, satu lawan satu di N.11 Lobak

- Advertisement -

SEREMBAN: Suasana di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Lobak bertukar meriah dengan laungan slogan dan sorakan penyokong daripada parti-parti yang bertanding.

Kumpulan yang hadir mengiringi calon masing-masing yang tiba di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights, bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan..

Seawal jam 7.30 pagi, penyokong mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon dengan membawa bendera serta sepanduk parti, sekali gus mewujudkan suasana penuh bersemangat namun tetap terkawal.

PERIKATAN NASIONAL (PN) mempertaruhkan Dr Kumar S Paramasivam daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) untuk membawa cabaran gabungan itu di kerusi DUN N.11 Lobak.

Beliau hadir bersama pencadang, Geetha Rajasingam dan penyokong, Vaishnave Vishnu sebelum menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Turut mengiringi ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Razman Zakaria serta Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali dan Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan.

Proses penamaan calon berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan dengan pemantauan rapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala penyokong setiap parti memberikan kerjasama baik sepanjang berada di kawasan pusat penamaan calon.

Selepas tamat tempoh penyerahan dan semakan borang pencalonan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan calon-calon yang layak bertanding bagi kerusi DUN N.11 Lobak.

Pengumuman itu disambut dengan sorakan gemuruh daripada penyokong yang mengibarkan bendera parti sambil melaungkan slogan perjuangan masing-masing sebagai tanda sokongan kepada calon.

Calon-calon kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan penyokong serta merakam gambar kenangan sebelum meninggalkan pusat penamaan calon untuk memulakan gerak kerja kempen.

Walaupun kehadiran penyokong daripada pelbagai parti mewujudkan suasana yang cukup meriah, keadaan keseluruhannya kekal aman tanpa sebarang insiden tidak diingini hasil kawalan keselamatan dilaksanakan pihak polis.

Dengan selesai proses penamaan calon, tumpuan kini beralih kepada tempoh berkempen selama dua minggu yang bakal menyaksikan calon-calon turun padang bertemu rakyat sebelum pengundi membuat pilihan pada hari pengundian, 1 Ogos depan. – HARAKAHDAILY 18/7/2026

- Advertisement -
- Advertisement -