
PASIR MAS: Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk persiapan menghadapi musim banjir tahun ini, setelah kos peruntukan bekalan makanan dan keperluan harian dinaikkan sebanyak RM700,000.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, sebelum ini sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan untuk tujuan yang sama.
“Kita juga telah menyusun pergerakan awal yang merangkumi latihan kaedah menyelamat, taklimat kecemasan serta praktikal operasi menyelamat yang dilaksanakan di setiap DUN dan Parlimen. Ia sebagai langkah bersiap sedia sekiranya kecemasan berlaku ketika banjir,” ujarnya.
Rohani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Mas berkata, latihan menyelamat diwajibkan bagi memastikan jentera di semua kawasan berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.
Beliau berkata keperluan asas mangsa banjir termasuk bekalan makanan, barangan keperluan harian dan peralatan di pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan lebih awal oleh JKM.
“Sebahagian besar bekalan telah dihantar ke pengkalan hadapan atau lokasi yang dikenal pasti sering dilanda banjir,” ujarnya.
Menurutnya, pusat pengumpulan bekalan di peringkat jajahan Pasir Mas termasuk Rantau Panjang kini berfungsi sebagai stok simpanan yang akan diagihkan mengikut keperluan rakyat.
Beliau juga berkata, jumlah PPS kini bertambah kepada 468 berbanding sebelumnya 459, di mana Pasir Mas sahaja merekodkan sebanyak 71 PPS dengan Pasir Mas dan Tumpat antara kawasan yang mencatat pertambahan paling tinggi.
Mengulas keadaan cuaca, beliau berkata hujan tahun ini turun lebih awal berbanding kebiasaan, namun berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan turun secara berfasa dan tidak berterusan.
Mengulas lanjut, Rohani berkata, persiapan melibatkan kerjasama rapat antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri dan Jawatankuasa Bencana telah diselaraskan.
Menurutnya, dua entiti ini saling berkait dalam menggerakkan operasi menyelamat serta pengurusan mangsa banjir di seluruh Kelantan agar ianya berjalan lancar.
Rohani turut berpuas hati dengan persediaan rapi dibuat di setiap PPS, termasuk penglibatan guru, penghulu dan pimpinan masyarakat yang mengadakan mesyuarat berkala di bawah jawatankuasa masing-masing.
Terdahulu Rohani telah melakukan lawatan yang sama ke Mini Depoh Pejabat JKM Jajahan Tumpat.
Hadir sama pada sesi lawatan itu Pengarah U-KeKWA, Ilvira Mohd Dasuki, Timbalan Pengarah JKM Negeri Kelantan, Mohd Zain Mat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Produktif dan Komuniti JKM Negeri Kelantan, Azman Mat Zain. – HARAKAHDAILY 21/11/2025




















