
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, memaklumkan kos kerja kerja tanah bagi projek pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral meningkat kepada RM14 juta.
Beliau berkata jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding anggaran RM8 juta hingga RM11 juta sebelum ini di mana jumlah ini merangkumi rawatan dan kerja kerja tanah di kawasan berkenaan.
Menurut Mohamed Fadzli, perbelanjaan itu masih berada dalam kawalan dan dibuat berdasarkan keperluan semasa di mana rawatan tanah tersebut bertujuan memastikan kawasan tersebut stabil dan kukuh.
Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan, kerja kerja tanah merangkumi pembinaan sistem saliran, penambakan serta penggantian tanah asal kepada baharu.
Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral menjadi pembangunan strategik negeri yang dirancang untuk beroperasi serentak dengan Laluan Rel Pantai Timur serta berfungsi sebagai hab pengangkutan utama Kelantan.
Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral merupakan projek terminal bas bersepadu yang dibangunkan bersama zon Transit Oriented Development dengan pelbagai komponen komersial dan kemudahan awam.
Kerajaan negeri pada mulanya menjangka terminal tersebut siap pada akhir 2025 namun sasaran itu berubah kepada 2027 bagi menyelaras jadual dengan operasi ECRL.
Kerajaan Kelantan mengambil alih projek daripada pihak swasta selepas rundingan tidak mencapai persetujuan, di mana pengambilalihan dilakukan untuk mengelak kelewatan serta memastikan perancangan asal dapat diteruskan mengikut keperluan semasa. – HARAKAHDAILY 21/11/2025











