AS lancar serangan baharu, Iran bertindak balas

- Advertisement -

TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) kembali melancarkan serangan ke atas Iran pada Jumaat, sekali gus menjadi tindakan ketenteraan pertama Washington sejak kedua-dua negara mencapai Memorandum Persefahaman (MoU) pada 17 Jun lalu.

- Advertisement -

Menurut AS, serangan itu menyasarkan sebuah tapak tentera Iran susulan dakwaan bahawa pasukan Iran menyerang sebuah kapal komersial di Selat Hormuz.

Tindakan tersebut mengundang kecaman daripada Tehran apabila seorang Ahli Parlimen kanan Iran menyifatkannya sebagai bukti bahawa Washington tidak mempunyai komitmen sebenar terhadap diplomasi mahupun persefahaman gencatan senjata.

Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Ibrahim Azizi, berkata AS sekali lagi memilih tindakan ketenteraan ketika rundingan berkaitan gencatan senjata masih berlangsung.

Menerusi hantaran di platform X, beliau mendakwa Presiden AS, Donald Trump, telah menunjukkan kegagalan untuk berpegang kepada prinsip rundingan dan menghormati gencatan senjata.

“Presiden AS, Donald Trump yang gagal telah menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai komitmen terhadap prinsip rundingan atau gencatan senjata,” katanya.

Azizi turut memberi amaran bahawa tindakan yang disifatkannya sebagai pelanggaran melulu terhadap gencatan senjata itu hanya akan membawa kepada pengunduran dan penyesalan di pihak AS.

“Permainan menyalahkan (Iran) tidak lagi berkesan,” tegas beliau.

Beberapa jam sebelum kenyataan itu dikeluarkan, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memaklumkan bahawa pasukan tentera lautnya telah menyasarkan kedudukan tentera AS di beberapa lokasi di rantau berkenaan sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika di selatan Iran.

Sementara itu, agensi berita Iran, Mehr, memetik kenyataan ketua pelabuhan di timur Hormozgan yang mengesahkan tiada sebarang kerosakan berlaku di Pelabuhan Sirik walaupun terdapat laporan mengenai letupan di kawasan tersebut.

Menurut laporan itu lagi, operasi pelabuhan berjalan seperti biasa dan semua peralatan kekal berfungsi tanpa mengalami sebarang kerosakan. – HARAKAHDAILY 27 Jun 2026

- Advertisement -