
KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan prinsip kesamarataan dalam penguatkuasaan perundangan negara susulan tindakan tergesa-gesa pihak berkuasa menghadapkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah ke mahkamah baru-baru ini.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyatakan bahawa kepantasan proses pendakwaan yang memakan masa tidak sampai dua minggu itu jelas mengundang persepsi negatif serta tanda tanya besar dalam kalangan masyarakat awam.
Beliau membandingkan situasi tersebut dengan pelbagai kes membabitkan pihak lain yang masih belum menyaksikan sebarang tindakan atau pendakwaan setara, biarpun sudah mengumpul puluhan hingga ratusan laporan polis.
“Apabila Dr Haim Hilman Abdullah menyampaikan pandangan dan kritikannya, tidak sampai dua minggu beliau telah didakwa. Kepantasan tindakan itu mengundang persoalan dalam kalangan masyarakat yang akhirnya mengundang lebih banyak tanda tanya.
“Dalam masa yang sama, terdapat pelbagai kes lain yang melibatkan puluhan malah ratusan laporan polis, namun sehingga kini masih belum menyaksikan pendakwaan atau tindakan yang setara. Perbezaan layanan seperti ini boleh menimbulkan persepsi bahawa prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tidak dilihat dilaksanakan secara konsisten,” katanya.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban ekoran kenyataan beliau yang secara berani membongkar serta mempersoalkan dasar dan ekosistem kemasukan pelajar ke universiti awam.
Dr Haim bagaimanapun secara tegas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebelum mahkamah memutuskan jumlah jaminan RM5,000 dan perbicaraan ditetapkan pada 30 Julai depan.
Mohd Amar menegaskan, sebarang perbezaan pandangan atau kritikan berkaitan dasar institusi pendidikan sepatutnya didekati dengan kematangan berhujah berasaskan data saintifik, bukannya dengan mewujudkan suasana ketakutan terhadap kebebasan bersuara.
“Sekiranya sesuatu pandangan itu dianggap tidak tepat, jawablah dengan fakta, data dan hujah ilmiah. Itulah pendekatan yang matang, mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan ilmu.
“Itu juga lebih sesuai dengan martabat institusi pendidikan sebagai medan perbahasan akademik, bukannya tempat yang menimbulkan kebimbangan terhadap perbezaan pandangan,” ujarnya.
Sindir ‘Reformasi’ dari filem P. Ramlee
Dalam pada itu, beliau turut meminjam analogi adegan satira daripada naskhah seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee bagi menggambarkan kekecewaan rakyat terhadap kegagalan pimpinan pentadbiran hari ini menterjemahkan slogan reformasi kepada tindakan realistik.
“P. Ramlee telah lama menyindir sikap masyarakat melalui filem Ali Baba Bujang Lapok. Adegan ‘silap pangkah’ yang akhirnya menerima najis dari tandas menjadi perlambangan bahawa kesilapan membuat pilihan akhirnya membawa padah yang terpaksa ditanggung sendiri.
“Kadang-kadang, satu babak filem mampu menyampaikan pengajaran yang lebih mendalam daripada laungan slogan reformasi yang tidak diterjemahkan kepada tindakan. Apabila janji gagal ditunaikan, harapan rakyat bertukar menjadi kekecewaan,” selar beliau.
Mengulas isu tadbir urus nasional, Mohd Amar menyifatkan kegagalan menangani penyelewengan skala besar serta kewujudan keputusan melepaskan kes berprofil tinggi tanpa melalui proses perundangan yang tuntas telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap ekosistem keadilan.
Kesan rantaian daripada amalan rasuah dan ketirisan dana tersebut akhirnya terpaksa didepani oleh rakyat marhaen menerusi himpitan ekonomi harian.
“Salah guna kuasa, pecah amanah dan rasuah yang melibatkan jutaan ringgit terus menjadi luka yang belum sembuh. Selagi gejala ini tidak ditangani secara tegas, telus dan tanpa memilih bulu, selagi itulah sukar untuk Malaysia bangkit sebagai sebuah negara yang benar-benar berintegriti.
“Setiap ringgit yang tiris daripada khazanah negara akhirnya dibayar oleh rakyat melalui kos sara hidup yang meningkat, peluang yang semakin mengecil dan pembangunan yang tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Terdapat kes berprofil tinggi yang tidak diteruskan sehingga ke penghujung proses perundangan. Keadaan ini mencetuskan perdebatan serta pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat mengenai keyakinan terhadap proses keadilan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa ketiadaan pencapaian konkrit yang boleh dibanggakan oleh pentadbiran semasa pada hari ini merupakan satu isyarat jelas bahawa Malaysia menuntut anjakan paradigma yang lebih menyeluruh dalam aspek kejujuran memegang amanah rakyat.
“Apabila ditanya apakah pencapaian yang benar-benar boleh dibanggakan pada hari ini, ramai masih tercari-cari jawapannya. Keadaan ini sepatutnya menjadi isyarat bahawa negara memerlukan perubahan yang lebih besar.
“Perubahan pada budaya pentadbiran, keberanian memerangi rasuah, kejujuran memegang amanah serta kesungguhan merancang dan mentadbir demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/6/2026











