Gelanggang PRN16 Johor dibuka hari ini

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16 Johor) secara rasmi bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 56 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri bermula jam 9 pagi.

Semua bakal calon diberi tempoh sehingga jam 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan.

- Advertisement -

Pengumuman itu menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari yang akan berakhir pada jam 11.59 malam, 10 Julai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 593 borang pencalonan telah terjual setakat pagi semalam, manakala 133 bakal calon telah menjelaskan bayaran deposit sebagai syarat mengesahkan penyertaan mereka dalam PRN kali ini.

PRN16 Johor melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Persaingan dijangka sengit apabila parti politik mempertaruhkan gabungan calon penyandang, muka baharu dan bekas wakil rakyat bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH bertanding di semua kerusi dengan PKR meletakkan 20 calon, AMANAH 19 calon dan DAP 17 calon BN turut bertanding di kesemua 56 kerusi menerusi 36 calon Umno, 16 calon MCA dan empat calon MIC.

PERIKATAN NASIONAL (PN) pula mengumumkan penyertaan menerusi PAS di 11 kerusi, BERSATU di 16 kerusi, MIPP di lima kerusi dan PEJUANG di satu kerusi.

Turut bertanding ialah MUDA di empat kerusi, PSM di satu kerusi serta BERSAMA yang dijangka meletakkan calon di 15 kerusi.

Suasana di sekitar PPC dijangka meriah dengan kehadiran penyokong parti yang berhimpun seawal pagi bagi memberi sokongan kepada calon masing masing.

SPR turut mengingatkan calon dan penyokong supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang undang kecil pihak berkuasa tempatan, termasuk larangan menggunakan alat muzik atau pembesar suara yang dipasang pada kenderaan bagi tujuan berkempen.

Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses penamaan calon, seramai 4,832 anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan, mengurus aliran trafik serta penutupan dan lencongan di 19 jalan utama berhampiran PPC di seluruh negeri.

Sebelum DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, BN menguasai 40 kerusi DUN, diikuti PH dengan 12 kerusi, PN tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.

Berdasarkan statistik SPR, PRN16 Johor membabitkan seramai 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan. – HARAKAHDAILY 27/6/2026

- Advertisement -