
PERBAHASAN di Dewan Rakyat pada 25 Jun lalu mengenai strategi kerajaan memanfaatkan permintaan global terhadap bahan api rendah karbon sepatutnya membuka ruang kepada satu perbincangan yang lebih mendalam: apakah hala tuju sebenar biodiesel negara pada hari ini?
Adakah biodiesel sedang dibangunkan sebagai instrumen penting untuk mengurangkan pelepasan karbon negara dan memperkukuh keselamatan tenaga domestik, atau ia semakin dilihat semata-mata sebagai komoditi eksport yang menguntungkan dalam rantaian hiliran sawit?
Soalan ini penting kerana biodiesel bukan isu kecil dalam dasar negara. Ia berada di persimpangan antara kepentingan pekebun kecil dan industri sawit, komitmen Malaysia terhadap agenda iklim, serta persaingan dalam pasaran tenaga rendah karbon global.
Maka perbahasan mengenai biodiesel tidak seharusnya terhad kepada angka eksport, pembukaan pasaran baharu atau nilai dagangan semata-mata. Biodiesel bukan sekadar alat menyerap lebihan sawit.
Sejak diperkenalkan, biodiesel sering dikaitkan dengan keperluan untuk menstabilkan harga minyak sawit mentah dan mewujudkan permintaan domestik yang lebih konsisten terhadap sawit.
Itu memang benar. Namun meletakkan biodiesel hanya sebagai alat menyerap lebihan pengeluaran sawit adalah satu pandangan yang terlalu sempit.
Di bawah Dasar Agrokomoditi Negara 2021โ2030, biodiesel mempunyai dua peranan besar. Pertama, ia membantu menstabilkan permintaan dan harga sawit. Kedua, ia menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon melalui penggunaan bahan api yang lebih rendah intensiti karbon berbanding diesel petroleum.
Maknanya jelas: biodiesel ialah instrumen ekonomi dan juga instrumen iklim. Ia bukan sekadar produk hiliran sawit untuk dijual ke luar negara, tetapi sepatutnya menjadi sebahagian daripada strategi nasional ke arah ekonomi rendah karbon.
Di sinilah timbul persoalan yang wajar diajukan kepada kerajaan. Jika jawapan kementerian lebih banyak tertumpu kepada pasaran eksport, peluang dagangan dan nilai komersial, maka di manakah letaknya komitmen untuk menjadikan biodiesel sebagai sebahagian daripada usaha dekarbonisasi dalam negara? Kapasiti ada, tetapi adakah kemahuan dasar juga ada?
Malaysia sebenarnya tidak bermula dari kosong. Negara telah melaksanakan Program Biodiesel Negara secara berperingkat dan campuran biodiesel telah berkembang daripada B10 kepada B15, dengan perbincangan berterusan mengenai peluasan ke B20 dan B30. Lebih penting, negara juga sudah mempunyai kapasiti industri yang besar.
Terdapat loji biodiesel berlesen dengan kapasiti pengeluaran tahunan yang tinggi, namun penggunaan kapasiti sebenar masih belum optimum.
Ini memberi satu gambaran penting: masalah utama Malaysia bukan semata-mata kekurangan kapasiti pengeluaran, tetapi persoalan sejauh mana kerajaan bersedia memacu penggunaan biodiesel secara lebih agresif dalam pasaran domestik.
Jika biodiesel benar-benar mahu dijadikan alat dekarbonisasi, maka fokus dasar tidak boleh hanya berhenti pada promosi eksport. Kerajaan perlu berani menetapkan sasaran penggunaan domestik yang lebih jelas, memperluas pelaksanaan campuran biodiesel secara berfasa dan menyelaras pelaksanaannya dengan dasar tenaga negara.
Tanpa langkah itu, biodiesel akan terus berada dalam kedudukan yang serba tanggung โ disebut sebagai bahan api hijau, tetapi penggunaannya dalam negara berkembang terlalu perlahan untuk memberi kesan ketara kepada pelepasan karbon nasional.
Persoalan besar: eksport dahulu, iklim kemudian? Inilah kebimbangan yang perlu dibincangkan secara jujur.
Dalam keadaan dunia berlumba-lumba memperkenalkan dasar rendah karbon, Malaysia tidak boleh sekadar menonjolkan biodiesel sebagai ‘produk hijau untuk dieksport’ tanpa memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai alat pengurangan karbon di dalam negara sendiri.
Jika biodiesel hanya dilihat sebagai komoditi eksport, manfaatnya mungkin besar kepada dagangan dan industri hiliran. Tetapi negara akan kehilangan peluang untuk menggunakan sawit sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran tenaga dan perubahan iklim.
Kita seolah-olah mahu menjual naratif dekarbonisasi kepada pasaran luar, sedangkan pelaksanaan dalam negara sendiri masih bergerak perlahan.
Hakikatnya, sektor pengangkutan kekal antara penyumbang besar kepada pelepasan karbon. Dalam konteks itu, peluasan penggunaan biodiesel sepatutnya dinilai bukan hanya dari sudut pasaran sawit, tetapi juga dari sudut dasar tenaga, pengurangan import bahan api fosil, dan komitmen Malaysia untuk menurunkan intensiti karbon ekonominya.
Malaysia perlu jelas tentang jenis biodiesel yang mahu dipacu
Satu lagi persoalan yang jarang dibincangkan secara terbuka ialah struktur sebenar pengeluaran biodiesel negara.
Setakat ini, tumpuan utama masih tertumpu kepada Palm Methyl Ester (PME), iaitu biodiesel berasaskan sawit yang menjadi tunjang Program Biodiesel Negara.
Namun pasaran global kini semakin bergerak ke arah bahan api bio yang lebih maju, khususnya yang berasaskan Used Cooking Oil (UCO) dan teknologi pemprosesan generasi baharu.
Maka rakyat berhak mengetahui secara lebih telus: berapa kapasiti sebenar pengeluaran biodiesel negara mengikut kategori?
Berapa jumlah pengeluaran komersial PME berbanding Used Cooking Oil Methyl Ester (UCOME)?
Berapa banyak yang digunakan dalam pasaran domestik, dan berapa banyak yang dieksport?
Ketelusan ini penting kerana ia akan menentukan sama ada Malaysia benar-benar sedang membina industri bahan api rendah karbon masa depan, atau masih terlalu bergantung kepada model biodiesel konvensional yang lebih terdedah kepada turun naik harga sawit dan tekanan pasaran antarabangsa.
Cabaran pasaran bukan kecil: harga, regulasi dan persepsi
Tidak dinafikan, biodiesel sawit Malaysia mempunyai kelebihan dari segi bekalan bahan mentah dan pengalaman industri. Namun kelebihan itu tidak menjamin daya saing secara automatik.
Cabaran pertama ialah jurang harga dengan diesel petroleum. Apabila harga minyak sawit mentah meningkat atau harga petroleum menurun, biodiesel akan menjadi kurang kompetitif dari sudut kos.
Dalam keadaan fiskal kerajaan yang terhad dan struktur subsidi bahan api yang kompleks, peluasan biodiesel ke tahap lebih tinggi seperti B20 atau B30 memerlukan perancangan kewangan yang teliti.
Cabaran kedua ialah halangan bukan tarif dan pematuhan pasaran, khususnya melibatkan European Union Deforestation Regulation (EUDR).
Pasaran Eropah semakin menuntut jaminan kebolehkesanan, pematuhan alam sekitar dan bukti bahawa rantaian bekalan komoditi tidak berkait dengan penebangan hutan.
Ini bukan lagi isu retorik atau persepsi semata-mata, tetapi realiti dagangan yang akan menentukan akses produk sawit Malaysia ke pasaran premium.
Jika Malaysia gagal membina sistem kebolehkesanan yang kukuh, biodiesel sawit negara bukan sahaja akan berdepan risiko kehilangan pasaran, malah boleh ditekan dari segi harga oleh pembeli yang melihat komoditi ini sebagai lebih berisiko dari sudut pematuhan.
Mengapa Malaysia perlu bergerak ke biodiesel generasi kedua
Dalam konteks inilah Malaysia perlu segera memandang lebih jauh daripada biodiesel sawit konvensional.
Masa depan bahan api bio bernilai tinggi tidak akan bergantung kepada satu model sahaja. Negara perlu mempercepat pembangunan biodiesel generasi kedua dan bahan api bio maju, khususnya dalam tiga segmen strategik.
Pertama: UCO dan UCOM. Minyak masak terpakai semakin menjadi bahan mentah penting dalam industri biofuel global kerana ia dilihat sebagai sumber yang lebih lestari dan mempunyai profil karbon yang lebih baik.
Namun untuk membangunkan segmen ini, Malaysia memerlukan ekosistem yang lengkap โ daripada sistem kutipan di restoran, hotel dan isi rumah, kepada standard kualiti, penguatkuasaan dan insentif pemprosesan.
Jika tidak dibangunkan secara serius, Malaysia akan terus ketinggalan dalam segmen yang semakin menjadi rebutan pemain antarabangsa.
Kedua: Hydrotreated Vegetable Oil (HVO). HVO semakin mendapat perhatian kerana sifatnya yang lebih hampir kepada bahan api ‘drop-in’, iaitu lebih mudah digunakan dalam enjin dan infrastruktur sedia ada.
Ini menjadikannya pilihan strategik untuk sektor pengangkutan berat dan industri yang sukar dinyahkarbonkan.
Namun HVO bukan sekadar soal teknologi. Ia memerlukan pelaburan modal yang besar, jaminan bahan mentah, kerangka insentif yang jelas dan keberanian dasar untuk membina rantaian nilai baharu dalam industri tenaga negara.
Ketiga: Sustainable Aviation Fuel (SAF). Inilah segmen yang mungkin paling strategik untuk jangka sederhana dan panjang. Industri penerbangan antarabangsa sedang mencari laluan dekarbonisasi, dan SAF dijangka menjadi pasaran bernilai tinggi dalam dekad akan datang.
Malaysia mempunyai kelebihan dari sudut bahan mentah, pengalaman dalam hiliran sawit serta kedudukan geografi yang baik sebagai hab penerbangan serantau.
Persoalannya ialah sama ada kerajaan benar-benar mempunyai pelan berskala besar untuk menjadikan SAF sebagai salah satu teras baharu industri sawit hiliran, atau ia masih sekadar disebut dalam kerangka dasar tanpa pelaksanaan yang agresif.
Apa yang rakyat patut tuntut daripada kerajaan?
Perbahasan mengenai biodiesel tidak sepatutnya berhenti pada slogan ‘memperkasa industri sawit’ atau ‘meneroka pasaran baharu’. Rakyat berhak menuntut jawapan yang lebih konkrit, lebih telus dan lebih strategik.
Pertama, kerajaan perlu menyatakan dengan jelas apakah keutamaan dasar biodiesel negara: adakah untuk pasaran eksport, untuk dekarbonisasi domestik, atau untuk kedua-duanya sekali dengan sasaran yang seimbang?
Kedua, kerajaan perlu membentangkan pelan masa yang realistik tetapi tegas bagi peluasan penggunaan biodiesel dalam negara, termasuk sektor mana yang akan menjadi keutamaan untuk pelaksanaan B20 atau B30.
Ketiga, kementerian perlu mengemukakan data yang lebih telus tentang kapasiti dan pengeluaran sebenar biodiesel negara, termasuk pecahan antara PME, UCOME, HVO dan segmen lain yang sedang dibangunkan.
Keempat, kerajaan perlu menjelaskan insentif pelaburan yang benar-benar wujud untuk mempercepat pembangunan UCO, HVO dan SAF, termasuk soal jaminan bahan mentah, galakan fiskal, sokongan penyelidikan dan kerjasama dengan syarikat tenaga.
Kelima, kerajaan perlu menunjukkan bahawa pematuhan kepada EUDR dan piawaian pasaran global bukan hanya slogan diplomatik, tetapi benar-benar diterjemahkan kepada sistem kebolehkesanan yang diyakini oleh pasaran.
Masa depan biodiesel perlu lebih berani daripada sekadar angka eksport
Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan besar dalam industri sawit. Tetapi kelebihan itu tidak akan bermakna jika dasar biodiesel negara kekal terperangkap antara retorik hijau dan realiti pelaksanaan yang perlahan.
Biodiesel tidak boleh terus dilihat semata-mata sebagai instrumen menyokong harga sawit atau menambah nilai eksport. Ia mesti diangkat sebagai sebahagian daripada strategi negara untuk menghubungkan industri sawit, keselamatan tenaga, pembangunan teknologi hijau dan pengurangan karbon dalam satu kerangka yang lebih jelas.
Jika kerajaan benar-benar serius, maka biodiesel perlu diberi tempat yang lebih besar dalam dasar tenaga nasional, bukan hanya dalam dasar komoditi. Kapasiti loji yang ada mesti dimanfaatkan, penggunaan domestik mesti dipercepat secara berperingkat, dan pembangunan bahan api generasi kedua seperti UCO, HVO dan SAF mesti digerakkan dengan lebih agresif.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan sama ada Malaysia mampu menghasilkan biodiesel. Persoalannya ialah sama ada kerajaan mempunyai kejelasan dasar, keberanian politik dan kesungguhan pelaksanaan untuk menjadikan biodiesel sebagai instrumen transformasi ekonomi dan iklim negara โ atau membiarkannya kekal sebagai satu lagi komoditi yang hanya disebut hebat di atas kertas, tetapi gagal dimaksimumkan untuk kepentingan rakyat dan masa depan negara.
๐ฌ๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐ฅ๐ ๐๐๐ ๐๐๐จ๐๐๐๐ก
๐๐ต๐น๐ถ ๐ฃ๐ฎ๐ฟ๐น๐ถ๐บ๐ฒ๐ป ๐ง๐ฎ๐ป๐ด๐ด๐ฎ ๐๐ฎ๐๐
๐๐ฒ๐๐๐ฎ ๐ฃ๐ผ๐ฟ๐๐ณ๐ผ๐น๐ถ๐ผ ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐น๐ฎ๐ฑ๐ฎ๐ป๐ด๐ฎ๐ป ๐๐ฎ๐ป ๐๐ผ๐บ๐ผ๐ฑ๐ถ๐๐ถ ๐ฃ๐ฒ๐ฟ๐ถ๐ธ๐ฎ๐๐ฎ๐ป ๐ก๐ฎ๐๐ถ๐ผ๐ป๐ฎ๐น – HARAKAHDAILY 27/6/2026











