Jementah tenang, Iskandar hadir beri sokongan moral

Iskandar (empat dari kiri) hadir memberi sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL DUN Jementah, Saifullah Abdul Wahab (enam dari kiri) dalam proses penamaan calon PRK16 Johor di Jementah, Segamat, Johor hari ini.
- Advertisement -

SEGAMAT: Suasana di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah pagi ini berlangsung tenang walaupun menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon PERIKATAN NASIONAL (PN), PH menerusi DAP dan BN melalui MCA.

Penyokong PN yang mengiringi calon DUN Jementah, Saifullah Abdul Wahab yang kelihatan tenang, mula memenuhi kawasan sekitar pusat penamaan calon seawal pagi dengan membawa bendera serta sepanduk parti sambil melaungkan kata kata semangat.

- Advertisement -

Penyokong yang hadir dilihat berdisiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

Penyokong PH dan BN turut hadir memberikan sokongan kepada calon masing masing dengan identiti parti yang tersendiri, namun suasana keseluruhannya kekal aman dan terkawal tanpa sebarang provokasi.

Secara keseluruhan berbanding beberapa pusat penamaan calon lain, suasana di Jementah lebih sederhana tanpa kehadiran penyokong dalam jumlah yang besar, sekali gus membolehkan proses penamaan calon berjalan lancar.

Turut memeriahkan proses penamaan calon ialah kehadiran Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad, yang hadir memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL, Saifullah Abdul Wahab.

Kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membantu melancarkan pergerakan penyokong dan memastikan proses penamaan calon berlangsung dengan teratur.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor pada 1 Jun lalu.

Pertandingan tiga penjuru di DUN Jementah dijangka memberikan saingan menarik apabila ketiga tiga gabungan politik utama menawarkan calon masing masing kepada pengundi.- HARAKAHDAILY 27/6/2026

- Advertisement -