
SANDAKAN: Kekuatan PAS tidak bergantung kepada individu tertentu, sebaliknya lahir daripada kesatuan jemaah yang bergerak berdasarkan keputusan syura dan kepimpinan.
Yang Dipertua PAS Kawasan Sandakan, Sahar Abdul Majid berkata, justeru tanzim perlu diperkukuhkan, menyatukan fikrah serta memperkasa gerak kerja jemaah.
Menurutnya, tema yang diangkat pada Mesyuarat Agung PAS Kawasan Sandakan kali ini iaitu Memperkasa Tanzim, Menuju Kemenangan mencerminkan tekad untuk membina kekuatan organisasi yang tersusun melalui kesatuan amal dalam kalangan seluruh ahli.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sandakan Kali Ke-36 di Taman Anggerik, dekat sini hari ini.
“Dalam mendepani cabaran semasa, kita perlu menyesuaikan pendekatan perjuangan dengan perkembangan masyarakat, khususnya melalui pengukuhan dakwah digital dan penglibatan lebih ramai anak muda dalam gerak kerja parti.
“PAS juga perlu tampil sebagai wadah perjuangan yang mampu menawarkan penyelesaian berteraskan Islam terhadap isu ekonomi, pendidikan, kebajikan dan pembangunan rakyat, bukan sekadar bercakap tentang Islam,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Negeri Sabah.
Selain itu, Sahar turut menekankan tentang penyediaan pelapis kepimpinan perlu diberi perhatian serius bagi melahirkan generasi yang berilmu, berjiwa dakwah, kukuh rohaninya, idealisme serta berani mendepani cabaran semasa.
“Bagi memperkukuh sasaran strategik, saya melihat PAS Kawasan Libaran mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kubu kuat PAS melalui gerak kerja dakwah, tarbiah, kebajikan dan politik yang konsisten sepanjang masa.
“Matlamat perjuangan tersebut bukan sekadar mencapai kemenangan pilihan raya, tetapi menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat dakwah, tarbiah dan politik Islam yang mampu menjadi model kepada masyarakat serta menyumbang kepada kemenangan PAS yang lebih kukuh dan luas,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 19/7/2026











