
ALOR SETAR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran supaya segera memperhalusi strategi pendidikan dilaksanakan negara Jepun bagi mengelakkan Malaysia terus ketinggalan dalam penguasaan dan penciptaan teknologi masa hadapan.
EXCO Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh berpuas hati dengan sekadar melahirkan jumlah graduan prasiswazah yang ramai, sebaliknya perlu memberikan tumpuan serius terhadap ekosistem pengajian pascasiswazah.
Menurut beliau, situasi semasa di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) amat membimbangkan ekoran ketiadaan kawalan yang jelas terhadap kemasukan pelajar asing di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka negara.
“Jumlah keseluruhan pelajar asing di lima universiti terbaik negara iaitu UM, USM, UKM, UPM dan UTM adalah sekitar 40,000 orang. Jumlah keseluruhan pelajar di lima IPTA ini adalah 145,000 orang. Ini bermakna 40,000 pelajar asing itu bersamaan 21.5 peratus,” katanya.
Beliau memperincikan bahawa berdasarkan kenyataan kepimpinan IPTA berkaitan, jumlah pelajar asing di peringkat prasiswazah dianggarkan sekitar 10 peratus atau 4,000 orang, manakala selebihnya tertumpu di peringkat pascasiswazah.
“Ini bermakna jumlah pelajar asing memanfaatkan kepakaran cendekiawan dan profesor negara di peringkat pascasiswazah iaitu master dan PhD adalah sekitar 36,000 orang atau 90 peratus dari jumlah mereka di lima IPTA tersebut.
“Jumlah ini bersamaan sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di lima IPTA itu. KPT sepertinya terlepas pandang kepentingan pendidikan peringkat pacasiswazah untuk rakyat Malaysia.
“Khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Sewajarnya KPT menjadikan pengajian peringkat pascasiswazah ini sama penting dengan peringkat prasiswazah,” ujar beliau.
Dr Haim turut menggariskan perbezaan ketara antara Malaysia dan Jepun yang mana Negara Matahari Terbit itu menyasarkan kelahiran 20,000 graduan PhD setahun bagi memacu sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, bioteknologi, tenaga serta pertahanan.
Katanya, kadar semasa rakyat yang memiliki PhD di Jepun mencatatkan 1.4 peratus daripada keseluruhan 123 juta penduduknya, berbanding Malaysia yang sekadar merekodkan 0.265 peratus daripada 34 juta populasi.
“Dunia masa depan tidak dikuasai oleh negara yang paling ramai pemegang ijazah, tetapi oleh negara yang memiliki paling ramai pencipta teknologi. KPT mesti berani mengubah keutamaan.
“(Iaitu) daripada sekadar memperluas kemasukan kepada membina ekosistem PhD STEM yang dibiayai, berkualiti dan terhubung dengan industri.
“Tanpa tindakan segera, Malaysia akan terus membeli teknologi, membayar lesen asing dan menyediakan tenaga kerja kepada inovasi yang dicipta oleh negara lain, bukan memimpin masa hadapan,” tegasnya.
Isu lambakan pelajar asing di peringkat pascasiswazah berbanding anak tempatan dibongkarkan Dr Haim yang berlaku dalam sektor pendidikan tinggi negara semakin mendapat perhatian dan wacana mutakhir ini.
Kebimbangan ini tercetus ekoran kebajikan serta kuota pembiayaan penyelidikan untuk penuntut tempatan, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), didedahnya semakin mengecil.
Ramai juga mengeluh kekangan dana penyelidikan dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk terus bekerja selepas tamat prasiswazah berbanding menyambung pengajian ke peringkat Master atau PhD.
Jurang ini akhirnya diisi oleh pelajar antarabangsa termasuk pelajar tempatan daripada keluarga kaya yang melihat yuran pengajian tinggi di Malaysia sebagai jauh lebih kompetitif hingga berbangkit isu kemasukan ‘pintu belakang’.
Keadaan ini menimbulkan desakan agar KPT menilai semula hala tuju pascasiswazah agar kepakaran tempatan tidak sekadar menguntungkan modal insan asing, sekali gus memastikan sasaran melahirkan masyarakat berinovasi tinggi tercapai. – HARAKAHDAILY 19/7/2026











