Dr Afifi: Harapan baharu untuk Petagas

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (tengah) bersama Dr Afifi Saif dan sebahagian petugas PERIKATAN NASIONAL dalam gerak kerja kempen di DUN Petagas.
- Advertisement -

PUTATAN: Dr. Afifi Saif sudah lama berkhidmat untuk masyarakat Petagas dan bukan hadir hanya ketika musim pilihan raya.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, berkata Dr Afifi adalah doktor profesional yang dekat dengan rakyat, ramah, lemah lembut tutur katanya, dan mempunyai akhlak yang bersih.

“Nama beliau sudah lama dikenali kerana tangan yang merawat dan hati yang menyantuni.

“Di saat rakyat mencari pemimpin yang jujur, berintegriti dan tidak terpalit kepentingan, Dr. Afifi Saif tampil membawa rekod khidmat yang nyata,” katanya yang turut sama dalam gerak kerja kempen di DUN Petagas.

Menurutnya lagi, Dr Afifi membuktikan bahawa kepimpinan bukan pada janji yang dilaungkan, tetapi pada amanah yang ditunaikan dan kasih yang diberikan kepada rakyat Petagas.

“Namun perubahan hanya berlaku apabila rakyat berani melangkah. Pemimpin yang baik tidak akan lahir jika kita kekal takut membuat perubahan,” katanya.

Justeru, ujarnya peluang untuk mendapatkan pemimpin yang bersih, berwibawa dan berprinsip ini bukan datang setiap hari.

Beliau menambah, Pilihan Raya Negeri ke-17 inilah masa untuk memilih masa depan yang lebih sejahtera.

“Demi nasib anak-anak kita, demi Petagas yang lebih teratur, aman dan bermaruah, marilah kita memilih dengan yakin.

“Pilihlah Dr. Afifi Saif calon No. 3, suara baharu untuk masa depan Petagas,” katanya lagi.

Pada PRN kali ini, Dr Afifi yang merupakan calon PERIKATAN NASIONAL berdepan saingan dengan sembilan lagi calon di DUN Petagas yang mempunyai 20,116 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY 23/11/2025

- Advertisement -