
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan pencapaian dalam PRN Sabah 2025, khususnya kejayaan melahirkan ‘anak sulung’ di DUN N.16 Karambunai, merupakan penanda aras baharu buat PAS.
Terutamanya kata beliau, dalam memperkukuh usaha dakwah, siasah, tarbiah dan kebajikan di bumi Sabah yang bertuah sekali gus mengutuskan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera PAS yang telah terlibat dalam PRN itu.
“Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jentera PAS Negeri Sabah, atas komitmen, kesungguhan, dan kualiti kerja sepanjang tempoh pilihan raya ini.
“Khususnya PAS Kawasan Sepanggar (N.16 Karambunai), PAS Kawasan Putatan (N.23 Petagas), PAS Kawasan Tawau (N.67 Balung), PAS Kawasan Kalabakan (N.71 Tanjung Batu, N.72 Merotai) dan PAS Kawasan Lahad Datu (N.63 Kunak).
“Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat serta jentera Negeri-Negeri yang telah turun membantu tanpa mengenal penat lelah. Pengorbanan dan kesatuan tenaga inilah yang menjadi kekuatan kepada perjuangan kita.
“Semoga Allah memberkati usaha kita dan mengukuhkan lagi saf perjuangan PAS di Negeri Sabah serta seluruh tanah air, insya-Allah,” ujar beliau dalam perutusan tersebut.
Pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRN17) ini PAS bertanding di enam kerusi mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) dari semua 42 kerusi ditandingi komponen tersebut di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Calon daripada PAS bertanding di N.16 Karambunai, Datuk Dr Aliakhbar Gulasan; N.23 Petagas, Dr Mohd Afifi Shaiffuddin; N.63 Kunak, Kasman Karate; N.67 Balung, Dr Munzier Mahamud; N.71 Tanjung Batu, Ahmad Dullah dan N.72 Merotai, Hasan Haris.
Daripada keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Dr Aliakbar Gulasan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Karambunai pada PRN itu dengan majoriti 365 undi.
Beliau yang memperolehi 7,054 undi menewaskan 10 lagi calon iaitu Ahmad Jais Otong (WARISAN) yang mendapat 6,689 undi dan penyandang, Datuk Yakub Khan daripada Barisan Nasional (BN) yang mendapat 4,475 undi.
Lain-lain calon yang bertanding bagi DUN itu ialah Mohd Yunus Ibrahim daripada PBK mendapat 127 undi; Matkri Kassim (PKS – 45 undi), Azman Fathil (GAS – 73), Datuk Arshad Idris (GRS – 4,818), Hates Abdul (SPP – 150), Datuk Stephen Teo (STARSABAH – 2,010), Saikam Salinggou (Perpaduan – 73) dan Adis Jalie (PIS – 162). – HARAKAHDAILY 30/11/2025











