
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa mengambil tindakan perundangan selepas FELDA gagal memberi sebarang maklum balas mengenai penyelesaian isu tanah negeri yang dibangunkan sebagai ladang komersial tanpa hak milik sah.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tempoh 40 hari yang dipersetujui bersama berakhir semalam, namun FELDA masih tidak memberikan sebarang jawapan.
“Sehingga waktu dan tarikh ini, FELDA telah gagal memberikan apa-apa respon terhadap tuntutan Kerajaan Negeri.
“Surat peringatan terakhir juga telah dihantar oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu kepada Pengarah Besar FELDA pada 20 November 2025, tetapi tidak mendapat apa-apa respon.
“Mengambil kira isu ini telah berlanjutan selama 40 tahun tanpa penyelesaian walaupun kerajaan negeri telah membuka pelbagai ruang perbincangan dan rundingan.
“Pihak kami merumuskan bahawa tindak balas negatif serta sikap berdolak dalih pengurusan FELDA adalah amat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, sebagai sebuah negeri yang tertakluk kepada undang-undang, kerajaan negeri tiada pilihan selain bertindak demi menjaga kepentingan negeri mengikut Kanun Tanah Negara.
“Dalam mengatur fasa tindakan perundangan yang bakal bermula ini, aspek menjaga kebajikan pekerja adalah antara fokus utama kerajaan negeri agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan,” katanya.
Terdahulu, Harakahdaily melaporkan kerajaan Terengganu akan mengeluarkan Notis 425 terhadap FELDA Global Ventures (FGV) pada 29 November.
Ia selepas syarikat itu gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan negeri berhubung isu tanah ladang sawit seluas 15,000 hektar di empat daerah.
Tanah kerajaan negeri itu dibangunkan sejak 1985 di Dungun, Kemaman, Marang dan Setiu. – HARAKAHDAILY 30/11/2025











