
KANGAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memberi peringatan bahawa mana-mana individu yang membuat panggilan palsu kepada pasukan penyelamat ketika negeri itu sedang berdepan bencana banjir akan dikenakan tindakan.
Beliau menyifatkan tindakan membuat panggilan palsu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai ‘amat jahat’ dan boleh mengancam nyawa.
“Yang menipu Bomba, menipu JPAM (membuat panggilan palsu), ini adalah satu perkara yang cukup jahat, saya letakkan perkataan jahat. Saya minta pihak berwajib mencari pemanggil itu,” katanya.
Menurutnya, akibat panggilan palsu tersebut, ramai anggota penyelamat terpaksa digerakkan ke lokasi yang tidak wujud sehingga menjejaskan operasi bantuan di kawasan yang benar-benar kritikal.
“Ini perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab. Tolong hentikan panggilan palsu ini, tidak ada faedah pun jika dibuat. Kita harap pihak berkuasa dapat kesan panggilan palsu tersebut dan mengambil tindakan sepatutnya,” tegas beliau lagi.
Menteri Besar turut mengingatkan supaya orang ramai tidak mengganggu pihak keselamatan yang sedang berjuang memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.
“Saya nak beritahu saya tegas dalam hal ini. Tolong hentikan kacau ganggu terhadap pihak yang sedang menguruskan banjir ini,” katanya dalam satu sidang media ketika melawat Bilik Gerakan Induk Bencana, Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) di Jejawi semalam.
Dalam perkembangan sama, Mohd Shukri memaklumkan laluan ke Wang Kelian dibuka secara terhad untuk kenderaan di bawah 3 tan dari jam 7 pagi hingga 7 petang sahaja.
“Mana-mana kenderaan yang nak bergerak mesti dalam kategori itu. Sebelah malam kita tutup, 7 petang sampai 7 pagi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.
Beliau menjelaskan bahawa laluan pada waktu malam hanya dibenarkan kepada penduduk kampung bagi urusan penting, manakala orang ramai yang tiada keperluan diminta mengelakkan penggunaan laluan tersebut kerana keadaan masih berbahaya.
“Jika nak lalu laluan itu pastikan kita dipantau oleh pasukan keselamatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” jelasnya.
Menteri Besar turut memaklumkan usaha sedang dilakukan untuk mengeluarkan bas-bas yang terkandas di Wang Kelian dengan kemungkinan ia akan dibawa keluar melalui Thailand dan masuk kembali ke Malaysia melalui pintu sempadan lain.
“Kita tengah menguruskan dengan pihak berkuasa Thailand,” katanya.
Mohd Shukri turut memberi nasihat supaya seluruh rakyat berada dalam keadaan bersedia memandangkan cuaca yang masih tidak menentu.
“Pastikan kita tidak buat kerja yang tak sepatutnya dan boleh menyebabkan bahaya kepada keselamatan, nyawa dan orang lain. Patuhi arahan pihak keselamatan pada setiap masa,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2025












