Khidmat Malaysia dari empat negeri membantu di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: “Saya sendiri pun mangsa banjir,” demikian reaksi Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali ketika mengulas situasi banjir melanda negeri ini yang mengulangi situasi banjir besar pada tahun 2010.

- Advertisement -

Beliau menzahirkan rasa syukur serta penghargaan mendalam terhadap seluruh petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir tanpa mengira masa dan penat lelah.

Menurutnya, pengalaman sendiri melalui detik sukar sebagai mangsa banjir membuka ruang untuk melihat secara dekat komitmen luar biasa petugas Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia).

“Alhamdulillah, saya sendiri pun salah seorang mangsa banjir juga. Saya dapat menyaksikan petugas-petugas yang dijalankan oleh Khidmat Malaysia ini amat memuaskan. Mereka tak pilih kerja, terus berkhidmat dengan cukup baik,” katanya.

Beliau menegaskan banjir kali ini jauh lebih buruk berbanding 2010, dengan kawasan yang tidak pernah tenggelam turut dinaiki air.

“Pada kali ini berlaku banjir, inilah yang terburuk dalam masa 15 tahun. Dalam tahun 2010 banjir yang berlaku tidak seteruk sekarang ini. Banjir kali ni tempat yang tak pernah tenggelam pun dah tenggelam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Gerakan Induk Bencana, Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) di Jejawi semalam.

Tuan Guru turut memuji bantuan besar yang digerakkan dari negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan, yang hadir membantu operasi pembersihan, penyelamatan dan pengurusan mangsa banjir.

Beliau berkongsi situasi ketika beberapa petugas datang membantu membersihkan rumahnya sendiri sehingga tidak sempat menerima minuman yang disediakan.

“Mereka bertugas dengan penuh dedikasi, korbankan penat lelah mereka. Sampai saya nak jamu air pun tak sempat kerana ada tempat lain lagi yang perlukan bantuan,” jelasnya.

Dalam nada sebak, beliau turut memaklumkan adanya petugas yang meninggal dunia ketika menjalankan tanggungjawab membantu mangsa banjir.

“Ada yang meninggal dunia dalam menjalankan tugas. Saya doakan dia termasuk dalam ahli syurga sebagai gantian kerana menyelamatkan orang,” katanya.

Tuan Guru juga menarik perhatian mengenai segelintir penduduk yang tetap enggan berpindah walaupun keadaan semakin memburuk, sekali gus menyukarkan operasi penyelamat.

“Saya perhatikan ada juga penduduk negeri Perlis ini yang tak mau keluar dari rumah, macam mana pun tak mau tinggalkan rumah dia, membawa masalah pula kepada petugas penyelamat,” katanya.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang turut turun padang membantu dan berharap semangat perpaduan ini akan terus diperkukuhkan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak. Mudah-mudahan ini dapat memperkukuhkan lagi ukhuwah kita dalam usaha kita menjalankan tugas yang berat ini,” tambahnya.

Banjir besar yang melanda Perlis sejak beberapa hari lalu terus menuntut kesiapsiagaan maksimum daripada semua agensi penyelamat.

Namun dalam keperitan ini, terserlah pengorbanan, kesatuan dan keberanian rakyat serta para petugas di lapangan. – HARAKAHDAILY 30/11/2025

- Advertisement -