STEM sekolah YIK integrasikan nilai-nilai Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dilaksanakan 93 sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan integrasi antara subjek tersebut dan nilai-nilai Islam.

- Advertisement -

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Kamaruzaman Mohamad berkata, hal itu dilakukan dengan penyelarasan pembelajaran STEM dalam sistem kurikulum YIK.

Menurut beliau, tempoh dua tahun kebelakangan ini banyak kejayaan ditempa termasuk Karnival STEM Peringkat Kebangsaan 2025 berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini Ogos lalu.

“Pelaksanaan STEM di peringkat sekolah YIK agak baik dan akan terus dipertingkatkan melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Ia melibatkan pembelajaran interaktif seperti kajian sains, pembelajaran berasaskan masalah, pembelajaran berasaskan projek termasuk bengkel robotik, koding dan pameran inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI 2025 yang diadakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan (PKINK), Ir Hamdzah Abdul Rahman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok itu berkata lagi, sehingga kini sekolah YIK menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan selain terlibat secara aktif dalam program STEM dianjurkan.

Media sebelum ini melaporkan enam sekolah tersebut berjaya meraih pingat peringkat kebangsaan dalam Karnival STEM Kebangsaan 2025 di UMK dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sekolah YIK turut terlibat program Rehlah Sains 2024 anjuran Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) menjelajah institusi itu memperkenalkan teknologi robotik dan kecedasan buatan (AI).

Malah kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan (UBeS) menganjurkan Karnival Robotik dan Inovasi Kelantan (K-RINK) turut menyemarakkan pendidikan STEM dikalangan pelajar sekolah YIK. – HARAKAHDAILY 17/12/2025

- Advertisement -