FELDA: TPM diminta faham isu premium tanah menyeluruh

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dato’ Dr Azman Ibrahim menyifatkan dakwaan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa FELDA telah membayar premium tanah bagi pembangunan ladang komersial pada tahun 2011 mengikut nilai pasaran ketika itu sebagai tidak tepat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, itu berkata, premium yang dibayar Felda pada tahun berkenaan hanyalah sekitar RM1,200 seekar, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada nilai tanah ketika itu sememangnya serendah jumlah tersebut.

“Fakta yang jauh meleset apabila TPM (Timbalan Perdana Menteri) mendakwa FELDA telah membayar premium tanah untuk membangunkan ladang komersial pada tahun 2011 mengikut nilai harga pasaran ketika itu.

“Suka saya maklumkan, nilai premium yang dibayar pada tahun 2011 hanya RM1,200 seekar. Betulkah nilai tanah pada tahun 2011 semurah itu? saya sendiri berminat untuk membeli sehingga 50 ekar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, kadar RM1,200 seekar itu sebenarnya merujuk kepada bayaran bagi tanah yang diwartakan di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) untuk dimasukkan peneroka dan bukannya bagi tujuan ladang komersial.

Jelasnya lagi, dalam proses pemberian hak milik kepada peneroka, setiap peneroka perlu membayar premium sebanyak 10 peratus daripada harga pasaran semasa sebelum diberikan geran hak milik secara individu dan bukan kepada FELDA.

Beliau turut memaklumkan antara sebab Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2011 tidak mengeluarkan geran hak milik kepada FELDA adalah kerana bayaran RM1,200 seekar tersebut dibuat tanpa memasukkan peneroka, sebagaimana pernah dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu.

Katanya lagi, ladang komersial Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) atau FGV tidak termasuk dalam kategori tanah yang diwartakan di bawah Akta GSA dan tidak melibatkan peneroka.

“Peraturan Tanah Negeri telah menetapkan kadar premium tertentu bagi tanah yang dijadikan ladang komersial. Inilah antara perkara yang sedang dirundingkan antara kerajaan negeri dan Pengurusan FELDA sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar sebarang kenyataan berkaitan isu tanah FELDA dibuat berdasarkan kefahaman dan penelitian yang menyeluruh.

“Nasihat saya, sebaiknya TPM perlu lebih memahami dan mendalami sebelum bercakap isu ini,” katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Terdahulu, Zahid memaklumkan bahawa pembayaran sebanyak RM61 juta telah dibuat oleh pihak FELDA kepada kerajaan Terengganu dan kini mereka telah memperlanjutkan untuk tempoh sebulan dan operasi-operasi yang selama ini tertangguh telah diteruskan.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri menuntut premium tanah bernilai RM700 juta berdasarkan nilai pasaran semasa, sedangkan FELDA telah membuat pembayaran premium pada 2011 mengikut nilai pasaran ketika itu, namun geran hak milik masih belum dikeluarkan. – HARAKAHDAILY 17/12/2025

- Advertisement -