
TERCETUSNYA peristiwa kedegilan FELDA untuk duduk berunding dengan Kerajaan Negeri Terengganu dalam isu ladang komersial yang diusahakan mereka dan sekarang FGV semenjak 40 tahun lalu, walaupun sudah ditawarkan beberapa kali tawaran rundingan, bukanlah sesuatu yang bagus.
FELDA pula didakwa memberi kata dua pula kepada Kerajaan Negeri dalam satu surat yang diterima Exco, Dato’ Dr Azman Ibrahim pada hari-hari terakhir sebelum tamatnya tarikh tawaran, supaya memberi mereka geran dan bukan mereka yang menyerah kalah.
Ini agak memalukan kerana tindakan pengurusan FELDA sepertinya tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini, sering menggunakan peneroka sebagai perisai, walhal tiada kaitan. Dato’ Dr Azman semenjak mula, kerana diamanahkan oleh Menteri Besar mahu agar perkara ini dimuktamadkan dengan merumuskan satu formula tuntas dengan FELDA bagi kebaikan semua pihak, dan paling utama harta rakyat Terengganu dipertahankan.
Segala penerangan dan rekod-rekod urusan disebarkan secara berkala oleh Dato’ Dr Azman, demi kefahaman untuk rakyat hadamkan. Isu ini jika tidak diurus dengan baik, akan mengakibatkan salah faham yang besar. Alhamdulillah segalanya berjalan baik.
Pimpinan Umno pun keliru kerana fitnah
Dalam masa kedua pihak bergelut ini, ada pula pihak yang semenjak dahulu mengaku sebagai pro-Umno, galak menyebarkan fitnah atas apa yang kononnya mereka dakwa merampas tanah peneroka. Kemudian mereka menambah lagi, kononnya rumah-rumah peneroka turut disita. Mereka mula memainkan isu Melayu Islam yang dihukum di negeri sendiri. Termasuklah bekas Ketua Penerangan Umno, turut tumpang menulis apa yang dia sendiri keliru.
Ketika semua serangan ini diraikan kalangan mereka kerana yakin rakyat percayakan fitnah mereka, tiba-tiba keluar salinan hansard DUN pada tahun 2010, bekas Menteri Besar Terengganu dari parti Umno, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri mengatakan FELDA meneroka tanah Terengganu secara haram.
Walaupun beliau mengugut untuk menyaman, tetapi ia sudah dicatat dalam DUN, bermakna ia sah dari mulut beliau sendiri. Kita tidak memerlukan pengesahan dari beliau untuk mengatakan kita betul kerana segala dokumen yang ada di tangan Kerajaan Negeri sudah cukup untuk dibuktikan di mahkamah bahawa Kerajaan Negeri bertindak betul.
Dato’ Rozi play safe?
Namun, ketika rakyat menyaksikan sendiri Kerajaan Negeri sedang bertungkus lumus menyelamatkan tanah rakyat Terengganu yang sedang diduduki FELDA secara tidak benar itu, Umno, melalui Pengerusi Badan Perhubungannya, Dato’ Rozi Mamat, tidak mahu bersama kerajaan untuk mempertahankan hak rakyat.
Malah beliau mendakwa kononnya Umno sangat menghormati proses perundangan. Sikap Umno jelas, apa jua keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat mesti dibuat secara tertib, teratur dan mengikut prosedur. Umno kekal mengambil pendekatan berhemah dan tidak campur tangan dalam rundingan yang belum dimuktamadkan.
Begitulah antara baris-baris kenyataan beliau yang dihantar melalui Facebook beliau minggu lalu yang manis dibaca, tetapi pahit untuk ditelan. Sayangnya, beliau lupa banyak perkara yang masih menjadi ingatan kepada rakyat bagaimana sikap sebenar Umno dalam menangani isu-isu yang terkait dengan hak rakyat.
Ramai lagi yang masih ingat bagaimana sikap Umno terhadap rakyat yang diberikan tanah TOL pada tahun 1999-2004. Tanah itu diambil semula dan kemudiannya dibahagi-bahagikan kepada mereka yang tertentu, walaupun peserta berusaha membayarnya. Ada peserta yang sampai meninggal dunia, tidak mendapat tanah itu. Apa kata Rozi berkenaan isu ini?
LPT3 dan FELDA: Dato’ Rozi ‘kluk klek’?
Baik, itu cerita dahulu. Cerita sekarang pula, beberapa bulan lalu, Dato’ Rozi menyatakan sokongan beliau kepada projek LPT3 supaya diteruskan pembinaannya yang mana, isu itu dibangkitkan oleh Dato’ Seri Ir Dr Samsuri Mokhtar di Parlimen.
Ia adalah projek yang sudah belasan tahun yang tidak dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat itu yang mana Umno juga ada di dalamnya, sehingga sekarang. Rundingan untuk menyambung semula projek LPT3 juga sedang dibuat oleh kedua-dua pihak terlibat dan masih tiada kata putus.
Tidakkah kita merasa pelik dengan sikap yang ‘kluk-klek’ oleh Dato’ Rozi dalam kes yang hampir sama keadaannya dan jarak masa hanya beberapa bulan, tetapi berbeza alasan? Dato’ Rozi tidak mahu mencampuri dengan menyokong Kerajaan Negeri dalam isu FELDA (dan Dato’ Rozi juga tahu siapa benar kerana Dato’ berada dalam Mesyuarat Exco 2010), yang FELDA menduduki secara tidak sah tanah rakyat Terengganu konon alasannya menghormati hal yang masih dalam rundingan.
Tetapi Dato’ begitu lantang menyuarakan desakan untuk Kerajaan Pusat menyiapkan LPT3 yang masih juga dalam rundingan beberapa purnama yang lalu walaupun kosnya sangat tinggi dan disokong Ketua Pemudanya berbanding isu FELDA yang hanya perlukan persetujuan dalam rundingan dan Kerajaan Negeri akan mendapat hasil.
Jika Dato’ bersikap begini, saya bimbang yang rakyat akan berfikiran negatif seperti bertanyakan adakah kerana LPT3 akan melalui jajaran ke Telemong, maka Dato’ mahukan ia disiapkan?
Rakyat Terengganu akan tertanya-tanya
Ataupun kerana serangan yang banyak dilakukan yang dilihat Dato’ sebagai satu peluang yang baik yang boleh menjejaskan Kerajaan Negeri, maka Dato’ tidak mahu campur, kerana takut serangan akan mengendur walaupun Kerajaan Negeri sedang mempertahankan kepentingan rakyat?
Atau mungkin juga rakyat akan tertanya-tanya, disebabkan persahabatan Dato’ dan Dato’ Shabery Cheek yang juga sebagai Pengerusi FELDA agak rapat sesama Umno, maka Dato’ memilih kawan daripada kepentingan rakyat? Saya bimbang nanti kalau rakyat terfikir adakah kerana Dato’ takut isu berkenaan perumahan Ketengah di Air Putih yang belum berjaya disiapkan semenjak tahun lalu diungkit rakyat?
Atau adakah isu tanah di Cakuh 9, Jerangau ada yang belum berjaya diserahkan Ketengah kepada peneroka setelah 40 tahun yang menghantui Dato’ Rozi untuk menyokong Kerajaan Negeri dalam isu mengambil semula hak rakyat daripada FELDA ini sebab nanti orang tanya apa Dato’ dan Umno buat sebelum ini bagi kepentingan rakyat?
Apapun alasan Dato’ Rozi, ia sudah terlambat. Rakyat Terengganu sudah meneliti dan menilai sikap Dato’ yang memilih isu, takut untuk menyokong rakyat, lambat merespon isu besar sebegini. Dan rakyat menunggu isu tanah di Cakuh 9, bagaimana penyelesaiannya kerana Dato’ Rozi menyatakan dengan jelas bahawa kepentingan rakyat menjadi keutamaan Umno Terengganu.
Dato’ Rozi, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang jika (insya-Allah tak akan) menang, maka jawatan Menteri Besarlah yang akan Dato’ Rozi sandang. Namun, apa lagi harapan rakyat yang tinggal terhadap sosok begini yang serba salah untuk bertindak demi kepentingan rakyat? Sudahlah kenyataan rasmi tidak dibuat secara serius, hanya melalui hantaran Facebook, tanpa kepala surat, tanpa tanda tangan. Sungguh Dato’ Rozi mengecewakan rakyat Terengganu.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 17/12/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

















