Belanjawan 2026: ‘Sabah tidak miskin, yang miskin pelaksanaan’

Datuk Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: “Sabah tidak miskin, yang miskin ialah pelaksanaan jika kita tidak berani berubah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan Negeri Sabah 2026 dengan menegaskan bahawa keutamaan mesti diberikan kepada penyampaian berkesan kepada rakyat.

Menurutnya, pembentangan belanjawan lebihan dengan jumlah perbelanjaan sekitar RM6.4 bilion dan lebihan kira-kira RM28 juta menunjukkan komitmen kerajaan negeri terhadap disiplin fiskal.

Namun, beliau menegaskan bahawa lebihan yang kecil itu menuntut pengurusan kewangan yang lebih berhemah, sekali gus tidak lagi memberi ruang kepada pembaziran, kelewatan serta ketirisan dalam pelaksanaan projek.

“Walaupun saban tahun bajet dibentangkan, isu rakyat di Karambunai dan Sepanggar masih berulang,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada persidangan DUN Sabah, di sini, semalam.

Antara isu utama yang beliau bangkitkan ialah keadaan jalan raya yang rosak dan berlubang, bukan sahaja di kawasan pedalaman malah di pinggir bandar Kota Kinabalu, yang disifatkan sebagai kegagalan penyelenggaraan berterusan.

Beliau turut menekankan masalah gangguan bekalan air yang berpanjangan walaupun kadar pengeluaran air tinggi, yang berpunca daripada kadar air tidak terhasil (NRW) yang tinggi serta kegiatan kecurian air, khususnya di kawasan setinggan haram.

Selain itu, gangguan bekalan elektrik dan risiko keselamatan akibat sambungan haram turut dibangkitkan sebagai isu serius yang menjejaskan keselamatan awam, terutama di kawasan berpenduduk padat.

Mengulas isu jalan raya, Aliakbar berkata masalah utama bukan kekurangan peruntukan, sebaliknya kegagalan tadbir urus dan kaedah penyelenggaraan yang tidak berasaskan prestasi.

“Hari ini kita masih menampal jalan seleoas tular, membiarkan jalan rosak berulang di lokasi sama dan tiada penilaian prestasi kontraktor yang jelas kepada rakyat,” ujarnya.

Justeru, beliau mencadangkan agar kontrak penyelenggaraan jalan dilaksanakan berasaskan prestasi, disertai penilaian berkala, penalti terhadap kerosakan berulang serta pendekatan penyelenggaraan pencegahan.

Selain itu, Dr Aliakbar menegaskan bahawa kecurian air dan NRW yang tinggi tidak boleh lagi dikompromi kerana ia memberi kesan langsung kepada rakyat serta kewangan Kerajaan Negeri.

“Ini bukan isu teknikal semata-mata, ini isu penguatkuasaan, integriti dan keberanian politik,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Beliau mendesak pelaksanaan zon pemantauan air di kawasan kritikal, penggunaan meter pintar, penubuhan pasukan tindakan khas anti-curi air serta tindakan tegas terhadap sindiket sambungan haram.

Mengulas isu elektrik, beliau menegaskan bahawa sambungan haram bukan sahaja mengganggu bekalan, malah meningkatkan risiko kebakaran dan membahayakan nyawa penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Saya mencadangkan audit rangkaian elektrik di kawasan berisiko tinggi dan tindakan tegas terhadap sambungan haram, selari dengan pendekatan berperikemanusiaan tetapi tidak berkompromi dengan keselamatan awam,” tegasnya.

Dr Aliakbar turut menyentuh isu setinggan haram yang disifatkan sebagai punca utama kepada pelbagai masalah termasuk kecurian air, kecurian elektrik dan isu sosial yang berlarutan.

Menurutnya, masalah tersebut bukan kerana kerajaan tidak mengetahui kewujudannya, tetapi kerana ketiadaan pelan penyelesaian menyeluruh dan berfasa.

Beliau mencadangkan pemetaan penuh kawasan setinggan di Sepanggar dan Karambunai, tindakan tegas terhadap pencerobohan baharu serta penyediaan laluan keluar yang berperikemanusiaan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.

Dr Aliakbar menegaskan bahawa belanjawan negeri 2026 tidak akan dinilai berdasarkan jumlah peruntukan, sebaliknya pada sejauh mana ia mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.

Menurutnya, rakyat Karambunai dan Sepanggar hanya menuntut kemudahan asas yang selamat dan stabil, termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik serta kehidupan yang bermaruah.

Beliau menegaskan sokongannya terhadap Bajet 2026 disertai harapan agar kerajaan negeri memperbaiki sistem penyampaian, bertindak tegas terhadap ketirisan serta mengutamakan penyelesaian berbanding alasan. – HARAKAHDAILY 16/12/2025

- Advertisement -