Muslimat sokong terus proses perundangan tolak judi

Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dewan Muslimat PAS Kedah komited mengekalkan sokongan terhadap Kerajaan Negeri Kedah berhubung keputusan tidak membaharui serta mengeluarkan lesen premis perjudian di negeri ini yang dilaksanakan sejak 1 Januari 2023 lalu.

Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, aktiviti perjudian hanya memberi keuntungan sebelah pihak tetapi merugikan rakyat, malah menjadi penyumbang kepada masalah sosial di negeri itu.

- Advertisement -

“Kita memandang perkara ini amat serius dan prihatin dengan keruntuhan institusi keluarga serta implikasi negatif terhadap kewangan keluarga yang terlibat dengan aktiviti judi ini.

“Judi ini tidak menguntungkan sesiapapun. Kalau untung pun hanya di pihak tertentu sahaja,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas pada kenyataannya, hari ini.

Kata Dato’ Ashah lagi, pihaknya juga memberi sokongan penuh kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, atas sebarang usaha terutama melalui saluran perundangan untuk memastikan keputusan dibuat Kerajaan Negeri sebelum ini, terus dilaksanakan.

“Memetik kata-kata Menteri Besar Kedah, usaha menghentikan perjudian adalah didasari perintah Allah, oleh itu kita yakin sebarang halangan, tidak akan menghentikan usaha ini.

“Malah komitmen PAS di Kedah termasuk di negeri-negeri SG4 yang lain untuk melaksanakan nahi mungkar dalam kadar upaya dan kuasa yang ada, terserlah melalui pendekatan tegas terhadap perjudian. Kita yakin rakyat melihat dan menilai,” tambah beliau lagi.

Beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah tegas menyuarakan, pihaknya turut menyokong usaha ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan agar bidang kuasa negeri tidak dilemahkan dan perundangan syariah terus diperkasakan.

Jumaat lalu, media melaporkan Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Negeri Kedah tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan bagi perjudian, adalah tidak berperlembagaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin, menolak rayuan yang difailkan oleh Kerajaan Negeri serta Menteri Besar, atas alasan tiada merit, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi pula menentang keputusan itu.

Sebelum itu, pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar juga telah memutuskan tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian yang berkuat kuasa 1 Januari 2023, sebagai tidak sah dan tidak munasabah.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B)Mansor Zakaria dalam kenyataannya, menzahirkan rasa kecewa serta terkilan terhadap perkara itu.

Menurutnya, keputusan hasil proses perundangan telah menyekat hasrat serta usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk mengharamkan sepenuhnya operasi premis perjudian berlesen di negeri ini.

“Keputusan itu jelas tidak mencerminkan aspirasi dan kehendak majoriti rakyat Kedah yang menolak kewujudan aktiviti perjudian,” kata beliau yang juga ADUN Kuala Ketil.

Sungguhpun begitu jelasnya, Kerajaan Negeri akan meneliti proses undang-undang seterusnya susulan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dan akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar.

Seterusnya beliau akan bertemu Penasihat Undang-Undang Negeri bagi meneliti hala tuju tindakan selepas ini berhubung perkara tersebut. – HARAKAHDAILY 16/12/2025

- Advertisement -