
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat meluluskan sebanyak 4,631 permohonan keahlian baharu bagi bulan lalu, meneruskan trend pertambahan ahli parti itu yang direkodkan secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad memaklumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya.
“Alhamdulillah, mesyuarat bulanan PAS Pusat meluluskan keahlian seramai 4,631 orang. Terus melangkah ke depan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.
Rekod kelulusan keahlian berkenaan selari dengan purata kemasukan ahli baharu PAS yang dilaporkan antara 2,500 hingga 4,500 orang setiap bulan, melibatkan penyertaan dari pelbagai negeri dan latar belakang masyarakat.
Sehingga kini, jumlah ahli PAS aktif di seluruh negara melebihi 800,000 orang, dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal antara negeri yang mencatatkan keahlian tertinggi.
Pertambahan keahlian tersebut berlaku dalam suasana politik semasa yang menyaksikan beberapa parti lain berdepan kemelut dalaman dan kehilangan sokongan ahli, manakala PAS terus merekodkan kemasukan ahli baharu secara berterusan.
Dalam perkembangan berkaitan, PAS turut merekodkan penyertaan tokoh profesional dan aktivis masyarakat, termasuk bekas pegawai kanan sektor awam dan pempengaruh sosial.
Situasi itu dilihat memperkukuh komposisi keahlian parti serta mencerminkan penerimaan PAS merentasi pelbagai lapisan masyarakat. – HARAKAHDAILY 16/12/2025











