Kelantan lancar program Rakan Muda Al-Quran

Zamakhshari Muhammad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan memberi nilai tambahan terhadap 10 inisiatif di bawah program Rakan Muda dibawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan menerapkan elemen pendidikan Al-Quran.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, panduan utama umat Islam itu memainkan peranan sangat penting bagi membentuk keperibadian golongan tersebut.

- Advertisement -

Malah beliau berkata, al-Quran juga mengandungi panduan hidup yang komprehensif, bukan sahaja hukum hakam dalam kehidupan harian, malah menjadi penawar terhadap kebejatan sosial hari ini.

“Asas kepada program Rakan Muda al Quran ni cukup mudah iaitu untuk membawa nilai al Quran ke dalam setiap aktiviti anak muda tak kira tempat, masa dan apa jua perkara.

“Saya percaya, apabila al Quran hidup dalam diri anak muda, mereka akan membesar sebagai generasi yang yakin, matang, berakhlak dan mampu memimpin dengan hikmah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perasmian program Rakan Muda Al-Quran di Masjid Jamek Muhammad Kota Bharu di sini Sabtu lalu yang disertai lebih 150 anak muda datang dari segenap pelusuk Kelantan.

Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad dan Imam Tua Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu, Ustaz Hairul Azizi Mokhtar.

Media sebelum ini melaporkan program Rakan Muda telah diberi nafas baru dan dilancarkan secara rasmi pada Jun 2023 bagi menjadi lebih sesuai dengan perkembangan semasa dan proses digitalisasi.

Rakan Muda 2.0 memperkenalkan 10 gaya hidup Rakan Muda yang menjadi teras kepada semua aktiviti yang dijalankan berdasarkan minat golongan itu dalam setiap gaya hidup dan keperluan generasi Z dan Alpha.

Program tersebut membabitkan rakan aktif, rakan giat, rakan prihatin, rakan seni, rakan eksplorasi, rakan digital, rakan mahir, rakan niaga, rakan @ kampus dan terakhir Rakan Muda al-Quran. – HARAKAHDAILY 16/12/2025

- Advertisement -