Toman 11.16kg rangkul Piala Menteri Besar

Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

JELI: Pemancing, Wan Zaman Wan Ya dari Tanah Merah berjaya mendaratkan seekor ikan toman atau channa micropeltes seberat 11.16 kilogram (kg) sempena Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala Menteri Besar 2025.

- Advertisement -

Majlis itu diadakan selepas Tasik Pergau diisytiharkan sebagai Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Ismail Petra (TPESIP) yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam ucapannya, beliau berkata Kelantan mempunyai khazanah alam sekitar yang berharga meliputi hutan hujan tropika, rangkaian sungai, delta dan pesisir pantai perlu dijaga dengan rasa tanggungjawab.

“Alhamdulillah hari ini kita ada peserta yang bernasib baik kerana berjaya naikkan ikan toman yang bersaiz besar dengan tangkapan yang paling berat iaitu mencecah 11.16 kg, dia jadi pemenang hari ini.

“Memancing dengan rasa tanggungjawab dapat mengawal ekosistem alam sekitar, tasik yang banyak toman juga tidak sesuai, permulaan kita buat pertandingan toman dahulu lain kali kita buat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perasmian majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala Menteri Besar 2025 di TPESIP, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rosnazli Amin dan Ketua Jajahan Jeli, Wan Fahazil Wan Mohamad Jaffar.

Mohd Nassuruddin berkata, memancing merupakan aktiviti yang sangat sinonim dengan sifat sabar, bahkan ia bukan sekadar hobi, tetapi satu bentuk latihan mental yang menguji tahap kesabaran seseorang.

Malah beliau berkata, dalam Islam sendiri amat memupuk kesabaran yang menjadi salah satu sifat yang terpuji dan menjadi tunjang kekuatan mental selain dianggap sebagai separuh daripada keimanan.

“Orang yang kurang sabar tidak boleh memancing, begitu juga orang yang lemah semangat. Ada pemancing yang seharian suntuk tidak memperoleh seekor ikan, ni menunjukan tahap kesabaran sangat tinggi.

“Jadi kalau mahu jadikan panduan kesabaran dalam kehidupan harian kita, pemancing boleh dijadikan contoh dan tauladan yang baik kepada orang Islam, Islam mementingkan kesabaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2025

- Advertisement -