Pemimpin mesti laksana tatakelola berintegriti

Ucapan sulung Dr Aliakbar di Sidang Belanjawan Sabah 2026

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Datuk Dr Aliakbar Gulasan (PN-Karambunai) menegaskan bahawa Belanjawan Negeri Sabah 2026 bukan sekadar melibatkan penyusunan angka dan peruntukan, sebaliknya merupakan amanah besar akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Beliau berkata, setiap angka dibentangkan dalam belanjawan membawa tanggungjawab moral dan keadilan perlu dipikul oleh semua pihak yang diamanahkan dengan kuasa pentadbiran negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, kuasa diberikan kepada pemimpin bukanlah milik mutlak, sebaliknya hanya pinjaman sementara yang pasti akan dituntut pertanggungjawabannya, sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Aliakbar mengingatkan bahawa Islam meletakkan amanah sebagai asas utama kepimpinan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 58 di mana menuntut agar amanah disampaikan kepada yang berhak dan keadilan ditegakkan dalam setiap keputusan.

Beliau turut memetik sabda Nabi Muhammad SAW bahawa setiap individu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya, sekali gus menuntut kesedaran mendalam dalam kalangan wakil rakyat terhadap peranan yang dipikul.

“Inilah sifat kepimpinan, takut kepada Tuhan, bukan takut kepada kehilangan jawatan,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2026, di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini semalam.

Katanya, sejarah Islam memperlihatkan contoh kepimpinan berteraskan rasa takut kepada Allah, seperti ditunjukkan Saidina Umar al-Khattab yang bimbang akan dipersoalkan walaupun atas kematian seekor haiwan akibat kecuaiannya.

“Rasuah bukan sekadar dosa pentadbiran, ia adalah kegelapan yang menelan masa depan. Salah guna kuasa bukan sekadar kelemahan, ia adalah pengkhianatan kepada rakyat yang memberi kepercayaan,” ujarnya.

Menurut Aliakbar, apabila integriti runtuh dan amanah dikhianati, rakyat akan menjadi mangsa utama, manakala negeri pula hanya tampak indah pada zahir tetapi rapuh pada asasnya.

Aliakbar menolak pendekatan pembangunan yang hanya kelihatan kaya di atas kertas tetapi gagal dirasai oleh rakyat, sambil menegaskan keperluan melahirkan kepimpinan yang lebih takut kepada Tuhan daripada takut kehilangan jawatan.

“Kuasa tanpa iman melahirkan kezaliman, tetapi kuasa bersama iman melahirkan keadilan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar tatakelola kewangan negeri dilaksanakan secara telus, berintegriti dan bebas daripada keculasan, khususnya dalam aspek perolehan dan pelaksanaan projek.

Menurutnya, projek yang diluluskan mesti benar-benar sampai kepada rakyat, janji perlu diterjemahkan kepada tindakan, dan setiap sen peruntukan wajib dipertanggungjawabkan.

Aliakbar menegaskan bahawa belanjawan yang baik bukan diukur pada ketebalan dokumen atau jumlah bilion diumumkan, sebaliknya pada sejauh mana ia mampu menenangkan hati rakyat.

Beliau berkata, belanjawan perlu membantu ibu tunggal, memelihara kebajikan warga emas, membuka peluang sebenar kepada anak muda serta memperbaiki kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, sekolah dan kampung.

Tambahnya, belanjawan juga mesti membuka ruang ekonomi kepada golongan kecil dan sederhana, bukan hanya menguntungkan pihak berkepentingan atau golongan elit semata-mata.

Dalam konteks kepimpinan Islam, beliau mengingatkan bahawa pemimpin akan diadili bukan sahaja oleh manusia, tetapi juga oleh Allah SWT, dengan keadilan Ilahi yang jauh lebih berat dan menyeluruh.

Beliau memetik pandangan ulama seperti Imam al-Mawardi dan Imam al-Ghazali yang menekankan bahawa tugas pemimpin adalah memastikan hak rakyat terpelihara serta mencegah kerosakan yang berpunca daripada hilangnya rasa takut kepada Tuhan.

Aliakbar menegaskan pendiriannya untuk menyokong segala dasar dan peruntukan yang membawa maslahat kepada rakyat dan negeri Sabah.

“Namun saya juga akan terus menjadi suara yang menegur, suara yang mengingatkan, suara yang tidak akan diam jika berlaku penyimpangan daripada prinsip integriti, keadilan dan ketakwaan,” tegasnya.

Mengakhiri mukadimah perbahasannya, beliau mengingatkan bahawa apabila seseorang meninggal dunia, jawatan dan gelaran akan ditinggalkan, manakala yang kekal hanyalah rekod amanah serta cara ia ditunaikan.

“Semoga Tuhan memberkati negeri Sabah, mengurniakan pemimpin yang jujur, menguatkan yang lemah, menginsafkan yang alpa, dan melindungi rakyat daripada kezaliman yang lahir daripada keculasan manusia,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/12/2025

- Advertisement -