
TITAH Sultan Selangor bahawa baginda ‘sudah muak’ dengan isu kebersihan menzahirkan keprihatinan Baginda terhadap kualiti hidup rakyat negeri ini.
Titah tersebut lahir susulan aduan rakyat kepada baginda semakin meningkat, termasuk aduan lengkap dengan nama dan alamat, mencerminkan tahap keresahan awam yang memuncak.
Sejurus selepas titah tersebut, tindakan pembersihan dan penguatkuasaan dapat dilihat berlaku dengan pantas di beberapa kawasan. Ini membuktikan bahawa keupayaan untuk bertindak memang wujud dalam sistem pentadbiran sedia ada apabila isu diberi keutamaan.
Namun begitu, tindakan ini masih bersifat reaktif dan setempat. Ia belum mencerminkan satu perubahan dasar yang konsisten di peringkat negeri.
Empat hari selepas titah Sultan, respons rasmi kerajaan negeri dalam portfolio kerajaan tempatan tertumpu kepada arahan mengumpul data ‘hotspot’ pembuangan sampah haram, seolah-olah isu tersebut baru dikenal pasti.
Di sinilah persoalan asas wajar diajukan. Jika tindakan segera boleh digerakkan di lapangan, mengapa pendekatan dasar masih bermula dengan proses mengenal pasti masalah yang telah lama diketahui rakyat, pihak berkuasa tempatan dan media?
Hakikatnya, isu sampah haram, kutipan yang tidak konsisten dan penguatkuasaan yang lemah bukan berpunca daripada kekurangan data. Ia mencerminkan kelemahan tadbir urus dan kesungguhan. Apabila wujud tekanan luar, sistem terbukti mampu bergerak. Namun tanpa tekanan tersebut, masalah yang sama terus berlarutan.
Pihak berkuasa tempatan pula bukan entiti bebas. Mereka beroperasi di bawah kerangka dasar, KPI, peruntukan dan pengawasan politik kerajaan negeri.
Maka kegagalan yang berlarutan dalam mengurus perkara asas ini akhirnya meletakkan tanggungjawab politik di bahu pihak yang memegang portfolio kerajaan tempatan sejak 2008.
Rakyat Selangor tidak menuntut perkara luar biasa. Mereka mengharapkan pengurusan asas yang konsisten dan berkesan, antaranya:
1. Pengurusan hotspot berulang secara berstruktur, dengan pematuhan Service Level Agreement (SLA) yang ditetapkan serta pengesahan keberhasilan melalui data operasi dan bukti lapangan.
2. Penguatkuasaan berimpak pencegahan termasuk tindakan terhadap punca dan rantaian pelaku, bukan sekadar pengeluaran kompaun berulang tanpa kesan perubahan tingkah laku.
3. Penetapan KPI berasaskan masa respons, kadar penyelesaian dan pengurangan aduan berulang, selaras dengan amalan tadbir urus berasaskan hasil (outcome-based governance).
4. Pelaksanaan operasi bersepadu dan berfasa, termasuk di luar waktu operasi biasa, bagi mengekang aktiviti terancang dan mengelakkan kebocoran penguatkuasaan.
5. Intervensi penyelesaian kekal di kawasan hotspot melalui pembaikan sistem, kawalan fizikal dan pemantauan berterusan, bagi menamatkan kitaran pembersihan sementara yang berulang.
Selangor sering dibanggakan dengan kekuatan fiskalnya. Namun kekuatan itu hanya bermakna apabila keperluan asas rakyat diurus dengan konsisten. Isu kebersihan, anjing liar, mobiliti dan banjir berulang masih menjejaskan kehidupan seharian rakyat di banyak kawasan.
Selepas hampir dua dekad mentadbir, kegagalan berulang dalam perkara asas tidak lagi boleh disandarkan kepada isu teknikal atau legasi.
Ia wajar dinilai secara jujur sebagai isu kepimpinan dan keutamaan pentadbiran. Rakyat berhak mengharapkan lebih daripada tindakan ad hoc yang muncul hanya apabila ditegur.
‘Selangor Deserves Better’
USTAZ NUSHI MAHFODZ
Ahli Dewan Negeri Semenyih – HARAKAHDAILY 16/12/2025











