
BANJIR besar yang melanda Selatan Thailand hujung November baru-baru ini telah membadai hebat sehingga mengorbankan ratusan jiwa. Curahan hujan luar biasa mencurah sehingga menenggelamkan kota Hatyai, menjalar ke Pattani, Yala dan Narathiwat.
Impak banjir besar ini telah menyebabkan pondok-pondok pengajian Islam terjejas teruk serta memerlukan bantuan umat Islam.
Semenjak abad ke-15, Pattani adalah sebuah nama besar dalam peradaban dan perdagangan. Kehebatan ulamanya sehingga mendapat perhatian Khilafah Uthmaniah, bahkan menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram serta kitab-kitab ulama Pattani dicetak di Istanbul.
Pattani dalam susur sejarahnya adalah sebuah kerajaan Islam berdaulat yang mendapat jolokan ‘Serambi Makkah’, dengan jaringan ratusan pondok pengajian Islam, ribuan para ulama dan asatizah. Tanah Yala, Narathiwat, Setul dan Pattani ini menjadi tempat pemukiman ilmu kepada santri dari pelbagai penjuru Nusantara seperti Kemboja Champa, Brunei, Pulau Jawa, Sumatera, Tanah Melayu, Mindanao dan lain-lain.
Ulama Pattani bukan sahaja hebat menggerakkan pengajian Islam di tanah leluhur mereka sendiri namun juga sebahagian yang lain membuka perkampungan ilmu di Makkah yang dikenali sebagai Bukit Ajjiyad. Mereka juga mengajar di Masjidil Haram serta menggerakkan Makkah sebagai pusat operasi gerakan jihad di Nusantara.
Ulama Pattani mengarang kitab-kitab yang bertebaran ke Alam Melayu, antaranya Sheikh Daud Pattani, Sheikh Wan Ahmad al-Pattani, Sheikh Wan Mohamad Zain dan lain-lain sang pencerah.
Di zaman moden, bumi umat Islam ini menjadi sebahagian daripada negara Thailand dengan sejarah peperangan yang panjang namun keberadaan pondok pengajian Islam masih dikekalkan dan menjadi tunjang jati diri Muslim Pattani. Telah banyak kali LESTARI mengadakan jaulah ke wilayah Selatan Thailand, juga membina hubungan yang baik dengan Majlis Ulama Pattani.
LESTARI mengadakan banyak kali lawatan ke pelbagai pondok, Muzium Al-Qur’an Narathiwat dan madrasah moden serta tidak ketinggalan, berprogram kolaborasi dengan jaringan sivil Islami wilayah selatan Thailand. Apabila wilayah Selatan Thailand mengalami musibah banjir buruk maka relawan LESTARI menggalang dana untuk membantu pondok-pondok tradisional yang terjejas.
Melepasi Kompleks Imigresen Sungai Kolok, pasukan relawan LESTARI bergerak ke Pondok Tradisional Ihya Ulumuddin. Sejarah madrasah ini yang digerakkan oleh Baba Zainul Abidin Tuan Mat sebelum ini juga menampung pelbagai usia santri, daripada tahfiz sehinggalah pondok tradisional yang mengajar pelbagai kitab turath. Namun ia akhirnya terbengkalai akibat kematian pengasasnya. Hampir dua tahun ia tidak berpenghuni sehingga kelihatan usang dan kini dalam proses pemulihan semula.
Telah dibangunkan rumah tenaga pengajar, dibaiki bangunan pejabat dan kelas tahfiz al-Quran. Menurut Baba Ismail Jujur yang mengambil alih Pondok Tradisional Ihya Ulumuddin, sesi baru pembelajaran akan bermula pada tahun hadapan. Ramai penyumbang dana adalah terdiri daripada rakyat Malaysia serta kalangan aktivis NGO.
Relawan-relawan LESTARI yang menyertai misi juga telah menziarahi sebuah institusi pondok yang agak tersohor di Pattani iaitu Pondok Tunjung. Penggerak utama pondok ini ialah Baba Ismail Mohd Idris yang menyambung legasi almarhum bapanya yang mengasaskan pondok ini.
Pondok ini dengan kedudukan masjid sebagai pusat institusi, telah dinaiki air setakat lutut dalam banjir besar dua minggu lepas. Barang-barang bantuan telah dilonggokkan di sini untuk diagihkan kepada empat buah pondok tradisional di sekitarnya.
Anggota misi bantuan banjir LESTARI turut mengagihkan sumbangan seperti beras, pakaian ibadah, wang tunai dan naskah al-Quran kepada setiap pondok dan madrasah yang diziarahi. Menurut koordinator misi bantuan banjir ini, Baba Ismail Jujur yang juga merupakan sosok penting Jamaieyyah Ulama Pattani, ada terdapat sekitar 400 lebih buah pondok yang berdaftar dengan pihak kerajaan di wilayah Selatan Thailand, manakala terdapat lagi pondok-pondok yang belum berdaftar.
Musibah banjir juga mengheret kedukaan lain seperti kemusnahan kitab-kitab, kerosakan pondok-pondok pelajar serta lain-lain kemudahan. Namun, dalam kejerihan itu muncul sinar persahabatan yang utuh tanpa mengenal sempadan negara serta warna ideologi. Semoga Allah merahmati dan memelihara ukhuwah ini.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 16/12/2025















