
BAHAWASANYA, kita berhimpun di Konvensyen ini, bertemakan ‘Perkara 153 dan Penghayatan Wasiat Raja-raja Melayu’, bagi menegaskan aspirasi kita, orang Melayu, untuk bangkit menjadi bangsa yang bermaruah, hebat dan diberkati, seraya menerajui kemakmuran negara berdaulat ini.
Pun begitu, kita khuatir, setelah sekian lama merdeka, di negara yang dirahmati Allah SWT dengan begitu banyak sumber, dan alam sekitar yang sempurna, kesejahteraan kehidupan majoriti di kalangan kita, masih setara warganegara kelas ketiga, tercicir jauh berbanding kaum-kaum lain.
Hatta, kami, terutamanya, generasi anak-anak muda, mahukan jaminan, akan keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan kami, di masa hadapan.
Marilah bersama, dakap erat hak dan kepentingan yang selayaknya kepada kita, sepertimana dinyatakan sebagai:
1. Akujanji berbentuk wasiat, dari Raja-raja Melayu;
2. Kandungan beberapa perkara penting di dalam Perlembagaan; dan
3. Usul yang disenaraikan sebagai Resolusi Konvensyen ini, terutama:
Peringatan kepada semua, Perkara 153 adalah tuntutan atau pampasan kepada orang Melayu. la mesti kekal turun-temurun. Maka, Kerajaan mestilah segera tubuhkan Kementerian Hal Ehwal Bumiputera @ JPM, bagi mentadbir-urus semua hal ehwal berkaitan Perkara ini. Juga, semua usul Konvensyen ini hendaklah segera diambil tindakan olehnya;
Semua orang Melayu mesti terapkan Perkara 160 (takrifan mengenai ‘orang Melayu’) ke dalam budaya swatadbir-urus diri masing-masing, membina jati diri bangsa, kehebatan dan keberanian menuntut dan mempertahankan hak-hak kita.
Wasiat Raja-raja Melayu segera diwartakan, kesemua kandungannya diberi nafas baru dan segala akta berkaitan segera digubal,
Perkasakan lagi institusi Raja-raja Melayu, untuk lebih berupaya galas tanggung-jawab memelihara kepentingan kita, orang Melayu.
Kuasa politik mesti kekal di tangan orang Melayu, di kalangan kita, yang mengerti tanggungjawabnya menjaga kepentingan kita.
Maka dengan ini:
Setiap orang dari kita, orang Melayu, berkeperibadian Ahli Sunnah Wal Jamaah, mesti bangkit, menuntut apa yang hak, serta tegas mempertahankannya;
Semua institusi kepentingan orang Melayu, wajib bina kebersamaan minda, kesungguhan dan keberanian, untuk bersama galas amanah dengan penuh integriti dan rasa tanggung-jawab, menjayakan agenda kesejahteraan bangsa dan kemakmuran negara.
Sebagai balasannya, kami berjanji akan:
Taat setia serta memelihara kedaulatan takhta Duli-duli Yang Maha Mulia Tuanku sekalian;
Pastikan institusi politik orang Melayu yang kami dukung, kekal berkuasa memimpin negara;
Pastikan pelbagai institusi eksekutif kekal dianggotai dikalangan orang Melayu yang kredibel, berintegriti, bersih, cekap dan amanah
Ayuh bangkit, wahai orang Melayu, kita angkat deklarasi ini sebagai Wasiat Orang Melayu Turun-temurun. Kita jayakan agenda kesejahteraan bangsa. Kita terajui agenda kemakmuran negara berdaulat ini, secara setara, adil dan saksama.
Deklarasi ini dimeterai pada:
Sabtu, 13 Disember 2025 (22 Jamadilakhir 1447H)
Di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 16/12/2025











