
KALABAKAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Hasan Haris terkenal dengan sikap mesra rakyat yang terus komited menyantuni masyarakat setempat.
Katanya, setiap pertemuan dengan masyarakat memberi ruang buat dirinya untuk lebih memahami realiti kehidupan rakyat di Merotai khususnya.
“Saya memang sangat gemar berjumpa dengan masyarakat, kerana melalui pertemuan itu kita dapat kenal pasti masalah yang tanggung oleh setiap lapisan masyarakat.
“Hari ini saya menyantuni masyarakat di sekitar Jalan Semarak. Alhamdulillah ramai yang menyapa saya dengan penuh mesra. Ada juga yang turut mendoakan kejayaan saya dalam DUN ini,” jelasnya.
Sebelum itu, Hasan turut bersama-sama mendekati para peniaga dan pengunjung di sekitar Pasar Semarak bagi mendengar keluhan para peniaga di situ.
“Penerimaan mereka sangat baik, sopan santun terhadap jentera kami. Saya akan terus memastikan rakyat sentiasa disantuni, suara didengari dan solusi dicari,” ujarnya lagi.
DUN Merotai mempunyai 26,179 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November 2025.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY 18/11/2025




















