
KOTA BHARU: Dasar pemilikan tanah di Kelantan yang ketat terhadap pembelian oleh pihak luar negeri menjadi benteng utama mempertahankan hak rakyat tempatan.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, dasar tersebut telah digubal sejak zaman pentadbiran Menteri Besar Kelantan pertama, Dato’ Nik Mahmood Nik Ismail.
Jelas beliau, ia apabila kerajaan negeri menetapkan tanah di Kelantan tidak boleh ditukar milik sesuka hati kepada orang luar melalui perundangan.
“Dasar itu kekal hingga kini dan terbukti berkesan dalam memastikan tanah-tanah di negeri ini terus dimiliki oleh mereka yang berhak,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada program Bual Bicara Sejarah Tokoh Tokoh Kenali dan Sumbangannya.
Program tersebut diadakan sempena majlis Pentas Ulamak bersempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI) 2025 di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.
Menurut Dr Riduan, sekiranya Kelantan membenarkan sesiapa sahaja membeli tanah termasuk bukan Bumiputera, sudah tentu hak serta kepentingan orang Melayu akan terhakis sedikit demi sedikit.
“Bukan itu sahaja, harga tanah akan melambung tinggi dan menyebabkan penduduk kampung tidak mampu memiliki kediaman sendiri ekoran nilai pasaran yang mendadak naik,” ujarnya.
Katanya lagi, dasar itu juga menjadi sebab utama rakyat Kelantan dapat hidup selesa di kediaman masing-masing yang dibina di atas tanah sendiri.
“Bagi mereka yang belum mempunyai tanah, peluang tetap ada untuk membeli kerana harga masih terkawal dan berpaksikan kemampuan rakyat tempatan,” jelasnya.
Beliau menambah, mana-mana pihak luar yang ingin memiliki tanah atau kediaman di Kelantan perlu melalui proses kelulusan Mesyuarat Exco terlebih dahulu.
“Proses yang ketat ini menunjukkan kerajaan negeri amat menjaga hak dan kepentingan rakyatnya agar tidak tergadai kepada pihak luar,” tegasnya pada majlis turut dihadiri, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi. – HARAKAHDAILY 22/10/2025












